Pengarah, Shamyl Othman tidak menyangka filem seram arahannya berjudul Khadam meraih 12 pencalonan dalam Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Zul Ariffin Tak Kejar Anugerah, Tak Tercalon FFM 35 Bukan Isu – ‘Yang Penting Beri Persembahan Terbaik’
Kekuatan Khadam

Shamyl berkata, pengiktirafan itu cukup bermakna selepas semua pihak termasuk barisan pelakon dan tenaga kreatif memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan filem berkenaan dapat dihasilkan dengan baik.
Sejujurnya, saya terharu dan bangga dengan seluruh pasukan serta pelakon yang bertungkus-lumus menghasilkan filem ini. Akhirnya, segala usaha mereka mendapat pengiktirafan.
Saya sendiri tidak tahu hendak berkata apa selain bersyukur. Alhamdulillah, kerana saya rasa banyak filem bagus dihasilkan tahun ini. Kalau menang, Alhamdulillah. Kalau tidak pun, sekadar dicalonkan sudah cukup baik bagi saya.
Shamyl berkata demikian ketika ditemui pada Program Pesona Sinema sempena FFM35 anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah, pada Selasa.
Program berkenaan turut menampilkan dua pelakon, Nad Zainal dan Idan Aedan sebagai panel, selain mendapat sokongan Sit Connect Asia selaku rakan strategik.
Bagaimanapun, Shamyl tidak berselindung apabila menyatakan harapan agar beberapa individu yang menjadi tulang belakang kekuatan Khadam turut meraih kemenangan pada malam kemuncak nanti.
Saya mengharapkan Fariza dapat memenangi kategori Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik. Begitu juga Rendra Zawawi untuk kategori Skor Muzik Terbaik dan Lagu Tema Terbaik.
Bagi saya, Fariza sebagai penulis lakon layar menghasilkan naskhah yang sangat hebat. Jadi, saya memang berharap dia dapat membawa pulang kemenangan.
Mengulas kekuatan filem itu, Shamyl berpendapat kejayaan Khadam terhasil daripada gabungan kerjasama erat setiap jabatan produksi yang mempunyai pemahaman serta visi sama sepanjang proses pembikinan.
Setiap aspek seni dalam filem ini dihasilkan untuk menyokong dan mengangkat jalan ceritanya. Saya rasa semua yang terbabit mempunyai pemahaman serta hala tuju sama ketika menghasilkan filem ini. Jadi, hasil kerjasama itu dapat dilihat dan mungkin itulah antara kekuatan Khadam.
Untuk rekod, Khadam menerima 12 pencalonan FFM35 termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik menerusi Shamyl serta Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Zarra Zhaf) dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.
Filem terbitan Redfilms dan Komet Productions bersama beberapa syarikat produksi lain itu turut bersaing dalam kategori Poster Terbaik, Tatarias/Solekan Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Skor Muzik/Asal Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.
Menariknya, Khadam turut berkongsi kedudukan sebagai filem dengan pencalonan terbanyak bersama sebuah lagi karya seram, Malam Terlarang, apabila kedua-duanya masing-masing meraih 12 pencalonan daripada keseluruhan 25 kategori dipertandingkan.
FFM35 bertemakan Spektrum Sinema dijadual berlangsung di Istana Budaya (IB) dan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 kendalian Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 21 November ini.
The post FFM35: Dominasi 12 Pencalonan, Shamyl Othman Yakin ‘Khadam’ Ada Kekuatan Tersendiri – ‘Kalau Menang, Alhamdulillah’ first appeared on OHBULAN!.





