Kemenangan sebagai Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) menjadi detik cukup bermakna buat Aila Azizul apabila trofi sulung itu didedikasikan khas buat arwah bapanya yang meninggal dunia akibat kanser lidah pada September 2023.
Artikel Berkaitan: FFM35: Khadam Dinobat Filem Terbaik, Bolot 10 Kategori! Bawa Pulang Dana RM1 Juta
Kenang jasa arwah ayah

Pelakon filem Malam Terlarang itu tidak dapat menahan sebak ketika mengenang pengorbanan bapanya yang selama ini menjadi tulang belakang dan penyokong utamanya sejak mula menceburi bidang seni.
Dia (bapa) adalah penyokong nombor satu saya dan dia masih nombor satu. Dia memang dari kecil lagi menyokong saya. Dia meninggal dunia pada September 2023, saya mendapat watak dalam filem ini pada 2024.
Saya tahu dia sangat bangga dengan saya sebab dari dulu dia yang bawa saya ke latihan dan kelas. Kejayaan ini untuk dia.
Dia selalu panggil saya ‘Aila girl’. Setiap kali selepas latihan atau kelas, dia tanya bagaimana semuanya berjalan dan tunggu saya balik untuk tanya khabar saya.
Aila berkata demikian ketika ditemui pada sidang media malam kemuncak FFM35 yang berlangsung di Instana Budaya, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Aila mengakui tidak pernah menjangkakan dirinya mampu membawa pulang trofi berkenaan, lebih-lebih lagi Malam Terlarang merupakan filem pertama lakonannya.
Sejujurnya, memang dari tadi tangan saya menggeletar. Memang tak sangka sebab ini filem pertama saya dan saya tak sangka pun dapat pencalonan.
Jadi, untuk membawa pulang trofi ini memang satu penghormatan terbesar. Saya memang bermula dari teater jadi dari kecil sudah berjinak dengan dunia ini.
Gol saya memang untuk cuba berlakon drama televisyen dan filem. Malah sebenarnya dapat watak dalam filem Malam Terlarang pun saya tak sangka.
Menerusi kemenangan itu, Aila berjaya menewaskan empat calon lain iaitu Samara Kenzo (Indera), Faye An Ying Fei (Circus of Life), Yy Aleyqa (Denu) dan Dina Allysha (Mak #SalamDariSyurga).
The post FFM35: Aila Azizul Dedikasi Trofi Pelakon Wanita Harapan Kepada Arwah Ayah – ‘Dia Penyokong Nombor Satu Saya’ first appeared on OHBULAN!.





