Pengacara dan penyampai radio, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI menafikan khabar angin beberapa tahun lalu yang mengatakan dirinya sudah pun bernikah satu lagi.
Hanya gurauan bersama rakan
Memetik laporan Harian Metro, Faizal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Ismail menyatakan khabar angin tersebut hanyalah gurauan yang dilakukan bersama rakan-rakannya.
Saya boleh katakan, tidaklah (berpoligami). Saya ini banyak bercerita, bergurau dengan kawan-kawan. Tapi, secara jujurnya tidak berlaku perkara itu.
Mungkinlah ada cakap-cakap di belakang sebab saya baik dengan orang-orang tertentu. Tapi, untuk langsungkan secara sah, tidak.
Dalam pada itu, Faizal turut menafikan dakwaan kononnya terdapat seorang lelaki yang menjadi saksi kepada perkahwinan tersebut.
Menurut pemenang kategori penyampai Radio Popular ABPBH enam kali ini, fitnah itu mungkin timbul atas beberapa faktor sewaktu dirinya bergelar duta bagi satu agensi pakej umrah.
Sebenarnya, saya ada bersama ustaz lain pada ketika itu dan memang ada benda-benda tidak menyenangkan berlaku pada ketika itu menyebabkan ada yang menggunakan cara-cara tertentu untuk mempromosikan pakej umrah.
Sebabnya, syarikat (agensi) itu sememangnya dalam masalah pada ketika itu. Dalam keadaan itu, saya mengalami tekanan. Pada masa itu, boleh dikatakan saya tidak ada hubungan baik dengan agensi itu.
Masalah itu tergantung di situ sahaja. Saya tak ada bertemu dengan mereka dan sebagainya.
Namun begitu, penyampai radio berusia 47 tahun ini memilih untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap fitnah tersebut kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan yang ada.
Tidak. Dia sendiri pun dalam masalah tertentu. Jadi, jangan tambahkan lagi. Ketika itu, hubungan kami agak renggang.
Bila saya banyak salahkan dia dan salahkan diri saya, sebab jemaah banyak tumpukan kepada saya.
Jadi, ketika itu, dia pun mungkin dalam tekanan. Jadi, dia kena buat satu cerita.
Isteri tetap tenang, tak melatah
Sementara itu, Faizal menjelaskan bahawa isterinya, Nor Azlina Ahmad Din kekal tenang dan tidak melatah terhadap fitnah yang dilemparkan ke atas dirinya itu.
Tambah Faizal, isterinya juga terbuka sekiranya dia memilih bernikah satu lagi satu hari nanti namun, sentiasa melihat pada kemampuan dirinya sebagai seorang lelaki.
Isteri saya okay. Kalau hal-hal poligami, dia okay sahaja. Maksudnya, dia tidak menolak sepenuhnya.
Saya pun, kalau betul-betul berpoligami atau ada isteri lain, saya terus terang dengan dia dan tak masalah dengan dia pun. Tetapi, saya tak boleh cakap masa sekarang.
Tapi, yang akan datang, wallahualam. Sebab kita manusia, kita tak tahu. Saya melihat balik kepada diri saya, mampukah saya?
Memang, lelaki ini keinginannya tinggi. Tapi, bila fikir balik kemampuan kita, bukan sahaja dari segi batin, kita kena periksa diri kita adakah kita mampu adil dari sudut hati?
Itu satu perkara besar sebenarnya. Walaupun kita bagi nafkah setiap bulan (wang ringgit), tapi hati isteri masing-masing macam mana nak jaga. Itu bukan senang dan satu benda yang sangat besar.
Sekadar info, sekitar dua tahun lalu tularnya satu video memaparkan seorang lelaki yang mendakwa menjadi saksi bagi pernikahan Faizal dengan seorang wanita yang bernama Nor di Madinah.
Untuk rekod, Faizal mendirikan rumah tangga bersama isterinya Nor Azlina dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.