Pelakon, Erysha Emyra meluahkan bimbang terhadap peningkatan kes buli yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini, terutama membabitkan pelajar sekolah.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Erysha Emyra Nafi Dakwaan Bermasam Muka Dengan Qasrina Karim – ‘Agak Peribadi Untuk Dikongsikan’
Gejala buli

Erysha, 26, berkata, walaupun isu tersebut bukanlah sesuatu yang baharu, namun penyebarannya kini lebih meluas disebabkan pengaruh media sosial yang memudahkan masyarakat mengetahui dengan pantas.
Sebelum ini mungkin banyak juga kes buli yang berlaku di sekolah, cumanya zaman sekarang lebih diketahui kerana adanya media sosial.
Sebab itu, sekarang berita mengenai buli sangat banyak. Zaman dulu mungkin selepas dua atau tiga minggu baru masyarakat tahu.
Ada bagusnya juga apabila isu buli menjadi bahan bualan supaya semua masyarakat boleh bersuara dan mengelakkan gejala ini semakin teruk.
Erysha berkata demikian ketika ditemui di set penggambaran drama Satu Dua…Dia? terbitan Viu Malaysia yang diadakan di Shah Alam, pada Rabu.
Tambah Erysha, hatinya lebih risau apabila mengenangkan adik bongsunya yang masih bersekolah dan baru berusia sembilan tahun.
Saya risau juga dengan isu buli di sekolah, kerana saya masih ada adik yang bersekolah. Tipu kalau saya kata tidak risau.
Namun saya percaya, jika didikan di rumah diberikan dengan betul dan anak-anak dibesarkan dengan baik, insya-Allah mereka boleh membawa diri dengan baik di sekolah.
Nasihat untuk adik

Dalam pada itu, Erysha tidak menolak kandungan hiburan yang memaparkan elemen keganasan boleh memberi kesan kepada generasi muda, namun menegaskan semuanya bergantung kepada cara penerimaan individu.
Dalam apa jua yang ditonton ada baik dan buruknya. Tidak boleh terus kata pengaruh media sosial. Apa yang dipaparkan itu bergantung kepada bagaimana kita menilainya. Kadang kala kita perlukan cerita tentang buli untuk beri pengajaran kepada masyarakat.
Tapi untuk kanak-kanak, perlu ada pemantauan daripada ibu bapa supaya mereka faham mesej sebenar dan tidak meniru perlakuan negatif itu.
Sebagai kakak sulung, Erysha mengakui sering memberi nasihat kepada adiknya tentang kehidupan dan cara berdepan dengan rakan-rakan di sekolah.
Saya sentiasa pesan kepada adik macam-macam nasihat, terutama mengenai kehidupan. Kadang kala dia pulang mengadu ada kawannya tak mahu berkawan dengannya.
Saya beritahu dia mungkin ada salahnya juga, sebab pasti ada sebab dari kedua-dua pihak. Saya mahu adik saya belajar mencari diri sendiri dalam membesar.
Dalam perkembangan lain, Erysha kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Satu Dua… Dia? arahan Datuk Yusry Abdul Halim yang bakal ditayangkan di platform penstriman digital (OTT), Viu Malaysia.
Drama tersebut dijadualkan mula ditayangkan pada 23 Oktober dan turut menampilkan barisan pelakon seperti Ariel Fesol, Zarif Ghazzi, Afiq Gamidon, Rizal Rasid serta beberapa pelakon lain.
The post Erysha Emyra Bimbang Gejala Buli Semakin Berleluasa, Penting Didikan Dari Rumah first appeared on OHBULAN!.





