Apabila tiba tahun baharu, ramai antara kita akan menetapkan azam untuk diri sendiri. Namun, yang lebih penting ialah berniat untuk memperbaiki diri dan meningkatkan ibadah bagi memperoleh reda Allah.
Artikel Berkaitan: Terapi Rohani: Ketenangan Melalui Al-Quran, Tahajjud & Zikir
Artikel Berkaitan: Jangan Terlepas Malam Mustajab Doa, Hazwani Helmi Kongsi Manisnya Ibadah Di Bulan Rejab
Kekal istiqamah

Antara amalan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini ialah dengan menunaikan Solat Sunat Qobliah Subuh. Daripada sabda Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa ganjarannya adalah lebih baik daripada seluruh dunia dan seisinya.
Selain itu, zikir selepas solat, seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar sebanyak 33 kali, serta selawat dan kalimah tauhid, dapat menjadi penguat semangat dalam melaksanakan ibadah.
Menunaikan solat Subuh berjemaah, sama ada di masjid atau bersama keluarga di rumah juga amat digalakkan kerana ganjarannya seumpama qiamullail sepanjang malam.
Jangan lepaskan peluang untuk berdoa selepas azan dan sebelum iqamah, kerana kedua-dua waktu tersebut adalah yang paling mustajab untuk panjatkan doa.
Di samping itu, membaca Al-Quran setiap hari, terutamanya selepas solat fardu Subuh, dengan mengamalkan surah-surah seperti 10 ayat awal dan akhir daripada Surah Al-Kahfi, Surah Al-Waqiah, dan Surah Al-Mulk, mampu mendatangkan syafaat bagi kita sebagai hamba-Nya.
Solat-solat sunat lain seperti Ba’diyyah, Witir, dan Dhuha dapat menambah asbab dalam memperoleh keredaan Allah, manakala, menunaikan solat di awal waktu pula dapat mengikuti sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
Menjaga wuduk sepanjang masa juga dapat mendekatkan diri dengan para malaikat, termasuklah dalam meningkatkan kesedaran untuk berzikir, mendapat ganjaran pahala solat yang lebih besar, serta menjauhkan diri daripada bisikan syaitan.
Akhir sekali, menjaga tubuh melalui pemakanan sunnah seperti buah kurma juga dapat membantu tubuh kekal sihat dan lebih bersemangat dalam menunaikan ibadah.
Sumber: Mingguan Wanita
The post Bukan Sekadar Azam, Utamakan Niat Memperbaiki Diri & Tingkatkan Ibadah Menjelang Tahun Baharu first appeared on OHBULAN!.





