Media sosial memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Tetapi apabila melibatkan selebriti satu hantaran peribadi terutamanya konflik berkaitan keluarga boleh berkembang menjadi cerita jauh lebih besar daripada apa yang mungkin dijangkakan.
Baru-baru ini, pelakon dan usahawan Abby Abadi menjadi perhatian selepas meluahkan rasa kecewa terhadap anaknya, Maria Danisha Hakim, sempena ulang tahun ke-18 remaja itu. Abby turut mempertahankan tindakannya selepas luahan tersebut menerima kritikan daripada segelintir netizen.
Situasi itu menunjukkan satu realiti media sosial hari ini. Seseorang memang berhak meluah, tetapi apabila sesuatu sudah diterbitkan kepada umum, kita tidak lagi mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap ke mana cerita itu akan pergi.
Artikel Berkaitan: Satu Luahan, Ribuan Orang Tentukan Siapa Salah… Sukarnya Jadi Keluarga Artis Di Era Media Sosial
Artikel Berkaitan: Dituduh ‘Toksik’, Abby Abadi Bidas Komen Netizen – ‘Awak Tahu Ke Apa Yang Jadi Selama Saya Hidup?’
Ini 5 Risiko Apabila Terlalu Berkongsi Hal Peribadi
1. Sekali Screenshot, Padam Pun Belum Tentu Hilang
Menulis ketika sedang marah atau kecewa mungkin hanya mengambil masa beberapa minit. Masalahnya, hantaran tersebut boleh dirakam layar dan dikongsi semula sebelum sempat dipadam.
Kajian Fox dan Moreland mengenai penggunaan media sosial mengenal pasti persistence sebagai salah satu ciri platform digital. Kandungan boleh terus wujud dan memberi kesan terhadap privasi serta hubungan walaupun detik asal ketika ia dikongsi sudah berlalu.
Bagi selebriti, tangkap layar itu pula boleh berada dalam artikel berita, TikTok atau hantaran pengguna lain. Maksudnya, butang ‘delete’ tidak semestinya memadam keseluruhan jejaknya.
2. Ayat Yang Ditujukan Kepada Seseorang Boleh Dibaca Ribuan Orang Dengan Cara Berbeza
Seseorang mungkin menulis hantaran dengan membayangkan hanya keluarga atau pengikut yang memahami situasinya akan membaca. Realitinya tidak begitu.
Konsep ‘context collapse’ dalam kajian media sosial menerangkan bagaimana pengguna berdepan pelbagai kelompok pembaca dalam satu ruang yang sama. Keluarga, peminat, wartawan, kenalan dan individu yang langsung tidak mengenali kita boleh membaca hantaran yang sama tetapi mentafsirkannya dengan konteks berbeza.
Sebab itu ayat yang mungkin mempunyai maksud tertentu kepada keluarga boleh kelihatan sangat berbeza apabila dibaca orang luar.
3. Balas Komen Boleh Memanjangkan Cerita
Apabila sesuatu hantaran mula menerima kritikan, naluri seseorang mungkin mahu menjelaskan keadaan atau mempertahankan diri. Tetapi di media sosial, setiap jawapan boleh membuka bab baharu.
Dalam isu terbaharu Abby, luahan asal mengenai anaknya mendapat perhatian terlebih dahulu. Selepas beberapa netizen memberikan kritikan, respons Abby terhadap komen tersebut pula menjadi laporan media pada hari berikutnya.
Satu hantaran akhirnya boleh menghasilkan rangkaian luahan, komen netizen, respons arti, artikel baharu, reaksi netizen sekali lagi. Konflik yang sepatutnya mungkin reda akhirnya terus berada dalam timeline.

4. Cerita Lama Boleh Digali Semula
Internet juga mempunyai memori yang panjang. Apabila isu baharu berlaku, hantaran, kenyataan atau cerita lama mudah muncul kembali dan dikaitkan dengan situasi terkini.
Penyelidik Brandtzaeg dan Lüders menggunakan istilah ‘time collapse’ untuk menerangkan bagaimana media sosial mencampurkan masa lalu dengan masa sekarang apabila kandungan lama muncul kembali dan ditafsir dalam konteks baharu.

Perkara itu pernah berlaku dalam konteks keluarga Abby sendiri. Pada April lalu, Danisha tampil menjelaskan satu luahan di TikTok tidak mempunyai kaitan dengan keluarganya selepas warganet membuat spekulasi. Abby ketika itu juga menegaskan dia tidak pernah membezakan kasih sayang terhadap anak-anaknya.
Apabila timbul perkembangan baharu beberapa bulan kemudian, kenyataan lama seperti ini mudah dibawa kembali sebagai sebahagian daripada kronologi cerita.
5. Hubungan Boleh Pulih, Tetapi Naratif Internet Mungkin Masih Sama
Inilah mungkin risiko paling besar. Hubungan manusia sentiasa berubah. Hari ini seseorang mungkin kecewa. Minggu depan mereka mungkin sudah berbincang. Beberapa bulan kemudian hubungan boleh kembali baik. Tetapi internet tidak semestinya bergerak bersama perubahan tersebut.
Kajian mengenai time collapse menunjukkan kandungan lama yang boleh dicari dan muncul kembali boleh menyebabkan versi terdahulu seseorang terus mempengaruhi bagaimana dirinya dilihat pada masa sekarang.
Jadi walaupun sebuah keluarga sudah berdamai, carian nama mereka mungkin masih memaparkan artikel dan tangkap layar ketika hubungan sedang berada pada titik paling tegang.
Apa yang berlaku selama beberapa hari boleh menjadi sebahagian daripada jejak digital selama bertahun-tahun.
Meluah Itu Hak, Tapi Fikirkan Apa Berlaku Selepas ‘Post’
Tidak salah untuk seseorang mempunyai perasaan atau mahu meluahkannya. Selebriti juga manusia dan mereka turut berdepan rasa kecewa, marah serta terluka seperti orang lain. Namun media sosial mempunyai satu perbezaan besar berbanding meluah kepada seseorang secara peribadi.
Kita boleh memilih bila hendak berkongsi sesuatu, tetapi selepas menekan butang ‘post’, kita tidak dapat memilih sepenuhnya siapa yang akan membaca, bagaimana ia akan ditafsir atau bila ia akan muncul kembali.
Sebab itu dalam soal konflik keluarga, kadangkala risiko sebenar bukan apa yang kita tulis hari ini. Tetapi berapa lama internet akan mengingatinya selepas kita sendiri sudah memilih untuk move on.
Sumber: HibGlam, Gempak, Fox & Moreland, Computers in Human Behavior, Marwick & boyd, New Media & Society, Brandtzaeg & Lüders, Social Media + Society
The post Boleh Meluah, Tapi Internet Tak Mudah Lupa… 5 Risiko Apabila Selebriti Kongsi Konflik Keluarga Secara Terbuka first appeared on OHBULAN!.





