Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay mendedahkan berat badannya meningkat kerana bimbang dengan penerimaan penonton terhadap filem arahannya, Pemuja Syaitan.
Artikel Berkaitan: Liyana Jasmay Dedah ‘Pemuja Syaitan’ Terinspirasi Daripada Filem Slasher Era 2000-an – ‘Jarang Filem Malaysia Buat Genre Ini’
Artikel Berkaitan: Pemuja Syaitan Bakal Tayang 15 Oktober, Himpunkan Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar & Aila Azizul
Berat badan Liyana Jasmay naik 4 kilogram

Ketika ditemui , Liyana, 38, mengakui sukar mengawal tabiat pemakanannya sehingga menyebabkan dia mengalami kenaikkan berat badan sebanyak empat kilogram (kg).
Gementar sangat sampai saya tak boleh tidur dan berat badan naik 4 kilogram.
Saya sangat mementingkan ‘rasa’. Jadi, saya bimbang jika penonton tidak dapat merasai apa yang cuba saya sampaikan menerusi filem itu.
Bagi saya, apabila seseorang dapat merasai apa yang kita hasilkan, itu bermakna kita berjaya.
Liyana berkata demikian ketika ditemui di Majlis Tayangan Khas Filem Pemuja Syaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Aku Tak Percaya Cinta ini berkata, kebiasaannya individu yang mengalami tekanan akan hilang selera makan, namun perkara sebaliknya berlaku kepadanya.
Biasanya orang risau tak makan, tapi saya asyik-asyik makan. Sebelum ini selalu cakap diet tak ambil gula kan, tapi tak tahu dah ke mana diet saya tu.
Menurut Liyana, kebimbangan dan tekanan yang dialaminya berpunca daripada tanggungjawab sebagai pengarah yang sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk karya dihasilkan.
Saya sangat stres sebab filem ini dibuat bersama rakan kongsi. Orang percaya kita dan banyak orang menaruh harapan, jadi sudah tentu kita nak berikan terbaik.
Pemuja Syaitan merupakan karya sulung Liyana sebagai pengarah filem cereka dan menampilkan barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Aila Azizul, Nadhir Nasar dan Elizabeth Tan.
Turut membintanginya ialah Ellyza Azizi, Dhabita Auji, Aida Amron, Hakim Khan, Nat Aaliyah, Rosdeen Suboh, Dee Al Hadi, Yusuf Amin, Atoi Tohet, Selena Jasmay dan Marsha Biddulph.
Filem ini diterbitkan oleh Mermaid Studios dan Suraya Filem Production & Distribution, dengan Skop Productions Sdn Bhd sebagai rakan pengedaran dan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran.
Filem bergenre seram dan thriller itu mengisahkan sekumpulan bekas rakan sekolah yang kembali berkumpul di sebuah pulau sebelum penemuan kapsul masa membawa mereka berdepan rahsia dan kejadian misteri.
Pemuja Syaitan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober ini.
The post Bimbang ‘Pemuja Syaitan’ Tak Diterima Penonton, Berat Badan Liyana Jasmay Naik 4kg – ‘Saya Tak Boleh Tidur’ first appeared on OHBULAN!.





