Selepas mencuba pelbagai karakter sepanjang perjalanan seninya, Nadhir Nasar akhirnya dapat memenuhi satu lagi keinginan yang sudah lama disimpan iaitu membintangi sebuah filem seram.
Peluang itu hadir menerusi Pemuja Syaitan, filem seram sulung arahan Liyana Jasmay yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 15 Oktober ini. Filem berkenaan turut dibintangi Zul Ariffin, Aila Azizul dan Elizabeth Tan.
ARTIKEL BERKAITAN: Di Sebalik Pemuja Syaitan, Liyana Jasmay Kini Lebih Berhati-Hati – ‘Kurangkan Cerita Goal Kepada Orang Kerana…’
ARTIKEL BERKAITAN: Nadhir Nasar Jadikan Kritikan ‘Cermin’ Perbaiki Kualiti Lakonan – ‘Saya Harus Buka Hati Untuk Terima Semua Komen’
Bila Pengarah Juga Seorang Pelakon
Bagi Nadhir, keterujaannya terhadap projek tersebut bermula daripada keinginan untuk keluar daripada genre yang pernah diterokainya sebelum ini.
“Ini filem debut Liyana Jasmay dan juga kali pertama saya berada dalam sebuah naskhah seram. Saya memang dari dulu nak buat horror dan akhirnya peluang itu datang tahun lepas.
“Saya harap penonton Malaysia akan enjoy dan datang dengan hati terbuka untuk menghadam cerita Pemuja Syaitan.”
Namun, pengalaman pertama Nadhir dalam genre seram bukan hanya tentang berdepan babak menakutkan.

Antara perkara yang paling dihargainya ialah pendekatan Liyana di belakang kamera.
Menurut Nadhir, pengalaman Liyana sebagai pelakon memberikan satu kelebihan apabila mengarah kerana dia memahami apa yang diperlukan dan dirasai seseorang pelakon ketika berada di set.
“Best sangat bekerja dengan Liyana. Sebab dia sendiri seorang pelakon, dia tahu apa yang pelakon kena buat dan dia faham bagaimana seorang pelakon rasa.
“Bila sampai set, antara perkara pertama dia buat adalah tanya apa yang kami rasa dan apa yang kami mahu buat. Kita dapat rasa selesa, tapi dalam masa sama direction daripada dia tetap jelas.”
Dalam genre seram, keselesaan itu boleh menjadi penting. Reaksi takut, tekanan dan emosi perlu terasa meyakinkan, dan semuanya bermula apabila pelakon mempunyai ruang untuk mempercayai pengarah serta dunia cerita yang sedang dibina.
Jangan Berhenti Pada ‘First Impression’
Nadhir turut mempunyai pandangan tersendiri apabila ditanya mengenai kecenderungan sesetengah penonton membuat kesimpulan terhadap sesebuah filem sebelum menontonnya.
Dia tidak menghalang sesiapa daripada mempunyai tanggapan awal, tetapi percaya sebuah karya sepatutnya diberikan peluang untuk bercakap melalui keseluruhan ceritanya.

“Kalau nak hakimi sesuatu sebelum meneliti terlebih dahulu, bagi saya tak ada masalah. Tapi mungkin kita akan rugi sesuatu yang kita belum tahu.
“Untuk saya, sesiapa yang adili sesebuah filem sebelum tengok, dia yang akan rugi.”
Pandangan itu terasa sesuai dengan Pemuja Syaitan kerana filem berkenaan sendiri dibina di sebalik misteri yang tidak terus memperlihatkan segala jawapannya.
Kisahnya mengikuti sekumpulan bekas rakan sekelas yang kembali berkumpul di kampung halaman. Penemuan semula sebuah kapsul masa kemudian membuka rahsia, pengkhianatan serta kenangan pahit yang lama terpendam sebelum pertemuan penuh nostalgia itu bertukar menjadi tragedi.
Siasatan kemudiannya membawa Inspektor Zul lakonan Zul Ariffin untuk menyusun semula apa yang berlaku pada malam berkenaan, namun semakin banyak perkara diselongkar, semakin besar pula rahsia yang menanti.
Buat Nadhir, Pemuja Syaitan menjadi peluang pertama untuk masuk ke dunia seram yang sudah lama mahu dicubanya. Buat Liyana pula, ia membuka satu lagi sisi perjalanan kreatifnya menerusi filem seram pertama sebagai pengarah.
Kini, giliran penonton pula menentukan sendiri sama ada naskhah tersebut mampu memberikan sesuatu yang tidak dijangka apabila Pemuja Syaitan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 15 Oktober 2026.
The post Debut Dalam Genre Seram, Nadhir Nasar Percaya Sentuhan Liyana Jasmay Dalam ‘Pemuja Syaitan’ first appeared on OHBULAN!.





