Korang yang teringin nak shopping sakan di Langkawi tapi asyik berkira pasal had belanja, OHBULAN! ada berita gembira nak dikongsikan. Kerajaan menerusi Belanjawan 2027 MADANI baru sahaja mengumumkan kenaikan had pembelian barangan bebas cukai di Pulau Langkawi sehingga RM10,000.
Syaratnya mudah! Korang cuma perlu menginap sekurang-kurangnya 48 jam atau 3 hari 2 malam di pulau percutian ini. Memang win-win solution sebab selain dapat borong coklat dan pinggan mangkuk, korang juga boleh makan angin.
Apa lagi yang best dalam Belanjawan 2027?
Pengumuman ini disambut baik oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang yakin inisiatif ini dapat mengembalikan kehebatan Langkawi sebagai syurga beli-belah pilihan pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Seri Haji Iskandar Datuk Haji Mohd. Kaus, peningkatan had ini berupaya memanjangkan tempoh penginapan pelancong sekali gus merancakkan lagi ekonomi runcit tempatan.
Bukan itu sahaja, ada beberapa fokus utama lain yang turut dibentangkan:
- Duti Import Produk Tempatan Dikecualikan: Pengecualian duti import diperluas kepada lebih banyak produk buatan Langkawi untuk membantu usahawan tempatan bersaing di pasaran luar.
- Infrastruktur Pulau Tuba Dinaik Taraf: Sistem pembetungan awam di Pulau Tuba akan dinaik taraf demi menjaga kebersihan persekitaran serta memelihara ekosistem marin.
- Dana EFT & Pelancongan Bertambah: Kerajaan memperuntukkan RM935 juta untuk sektor pelancongan dan kebudayaan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2027, serta menaikkan Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada RM270 juta bagi memelihara status Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark.
Bukan pelancong je happy, peniaga Langkawi pun suka!

Inisiatif terbaharu ini bukan sahaja menggembirakan pelancong, malah disokong penuh oleh anak tempatan yang bertungkus-lumus memajukan perniagaan di sana.
Pengusaha coklat tempatan jenama D’KAWI Chocolate, Mohamad Shahrin Mohamad Ariff, menyifatkan perluasan pengecualian duti import ini sebagai perkara yang sudah lama dinantikan.
“Bahan mentah yang digunakan dibeli dari Semenanjung Malaysia, namun masih melibatkan beban cukai yang meningkatkan kos operasi. Pelaksanaan pengecualian cukai dapat membantu mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan daya saing, serta membolehkan kami menawarkan harga yang lebih kompetitif di pasaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, pengusaha Ash Majid Trading, Nor Ashikin Nor Majid, turut bersyukur dengan sokongan kerajaan namun berharap mekanisme pergerakan barangan keluar dari Langkawi ke tanah besar dapat ditambah baik.
“Usahawan mikro selalunya berdepan kos dokumentasi kastam yang boleh menjejaskan margin keuntungan. Diharapkan pihak MOF dan agensi berkaitan dapat meneliti kaedah yang lebih mudah dan kos efektif bagi membantu kami memperluas pasaran,” katanya.
Dengan pelbagai inisiatif ini, rantaian ekonomi penduduk tempatan seperti sektor penginapan, kedai makan, hingga ke pemandu pengangkutan dijangka akan turut menerima limpahan rezeki.
So guys, tunggu apa lagi? Jom pakat clearkan cuti dan kumpul bajet untuk bercuti ke Langkawi!
The post Berita Baik Buat Kaki Shopping, Had Barangan Bebas Cukai Langkawi Dinaikkan first appeared on OHBULAN!.





