Penyanyi dan pelakon, Azeva mengakui tidak mampu menghalang segelintir pihak daripada terus melemparkan kata-kata buruk terhadap dirinya sehingga timbul dakwaan kononnya dia seorang yang suka mengikis harta orang lain.
Artikel Berkaitan: #OBPVO2.0: Azeva Syukur Tercalon ‘Nepo Baby Paling Viral’ – ‘Tak Pernah Menang Anugerah, Moga Ada Rezeki’
Dituduh macam-macam

Azeva, 25, berkata, dia tidak mempunyai hak untuk menentukan apa yang mahu dipercayai oleh orang ramai, lebih-lebih lagi apabila pelbagai cerita mengenai dirinya mula tersebar.
Menurutnya, setiap individu berhak membuat penilaian sendiri, namun berharap orang ramai tidak mudah mempercayai sebarang dakwaan tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.
Saya nak cakap satu perkara, dalam dunia ini kita memang tidak boleh lari daripada orang yang benci dan suka buat jahat dengan kita. Walaupun kita sentiasa berbuat baik.
Saya juga nak beritahu, sekiranya anda semua ada dengar apa-apa berita atau cerita buruk tentang saya, sila pastikan cerita itu sahih. Siapa yang kenal saya, tahu saya dari dulu macam mana.
Mungkin satu hari nanti akan dengar orang bercakap ‘Azeva ini teruk budaknya’. ‘Azeva ini budak toksik, kaki kikis’. Saya harap kalian boleh menilai mana yang anda mahu percaya.
Azeva berkongsi perkara itu ketika melakukan sesi siaran langsung di TikTok, baru-baru ini.
Dalam masa sama, anak kepada penerbit, Datuk A. Aida itu turut membidas dakwaan kononnya dia gemar mengambil kesempatan terhadap orang sekeliling.
Kalau nak cakap saya kaki kikis, saya hanya kikis duit mama saya sahaja. Saya sejenis kalau orang beri hadiah, saya akan balas dua kali ganda.
Saya tak nak riyak, tapi kalau orang dah bercakap buruk tentang saya di semua tempat, saya terpaksa bersuara. Kalau saya kaki kikis, baik saya pergi dengan orang kerabat. Kalau sudah benci, semua kebaikan akan nampak jahat.
Sementara itu, dalam satu sesi siaran langsung lain, Azeva dilihat gagal menahan sebak apabila ada pihak yang didakwa cuba mengganggu serta mengheret ahli keluarganya dalam isu yang membabitkan dirinya.
Jelasnya, dia tidak kisah sekiranya dirinya menjadi sasaran kecaman, namun berharap orang ramai tidak melibatkan ibu bapa dan keluarganya dalam sebarang pertelingkahan.
Nak kacau saya tidak mengapa, tapi jangan ganggu keluarga saya. Saya lihat live ayah saya (Ameng Spring), saya jadi serba salah.
Sangat tidak berbaloi. Sepatutnya dari dulu perkara ini tak payah jadi. Jangan kacau bapa saya, awak boleh benci saya tapi jangan ayah saya atau ibu-ibu saya.
Sejak kebelakangan ini, nama Azeva menjadi perhatian pengguna media sosial susulan beberapa dakwaan dan kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan pihak lain, sehingga isu berkenaan turut melibatkan ahli keluarganya.
Undi OBPVO2.0

Dalam perkembangan lain, Azeva tercalon dalam kategori Nepo Baby Paling Viral di Paling Viral Online 2.0 (OBPVO2.0).
Selain Azeva, kategori Nepo Baby Paling Viral turut menampilkan Ammar Ahyan, Zaki Yamani, Cik B, Auddra, Airit Rayyan, Leona, Amad Dayyan, Thalita, Nayla Mikayla, Faris, Merrah, Mia Sara Shauki, Ammara dan Adrian Adam.
OBPVO2.0 mempertandingkan sembilan kategori iaitu Penyanyi Gen Z Paling Viral, Peniaga Paling Viral, Nepo Baby Paling Viral, Pelakon Paling Viral, Content Creator Paling Viral, Filem Paling Viral, Drama Paling Viral, Lagu Paling HOT dan Kelab Peminat Paling Viral.
Undian dibahagikan kepada dua fasa, iaitu Top 15 dari 2 November hingga 1 Disember 2026, diikuti Top 5 dari 7 Disember 2026 hingga 8 Januari 2027. Setiap pengguna boleh mengundi sehingga 50 kali sehari.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Paling Viral Online 2.0 pada 15 Januari 2027, jam 9 malam, yang akan disiarkan secara langsung menerusi akaun TikTok rasmi
Jom meriahkan kempen ini dengan menggunakan tanda pagar rasmi #OhBulanPalingViralOnline2.0 dan layari laman rasmi Paling Viral Online 2.0 untuk maklumat lanjut serta mengundi calon pilihan anda!
The post Azeva Menangis Dalam ‘Live’, Sedih Dilempar Pelbagai Tohmahan – ‘Boleh Benci Saya, Tapi Jangan Libat Keluarga’ first appeared on OHBULAN!.





