Jurusolek yang bertanggungjawab menata rias Aina Abdul pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) tampil menjelaskan mengenai keadaan tangan penyanyi dan komposer itu yang kelihatan lebih gelap berbanding wajahnya.
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Bakal Wakili Malaysia Ke Eurovision Song Contest Asia 14 November Ini
Kesan arang di tangan

Menerusi hantaran di Instagram Story, jurusolek dikenali sebagai Bobo Cinta memaklumkan tangan Aina sengaja dikotorkan dengan arang bagi memberi kesan kepada konsep persembahannya yang bertemakan letusan gunung berapi menerusi lagu Kamu.
Mana yang komen kata muka Aina putih tangan gelap, saya nak bagi info. Tangan Aina kesan daripada arang ikut konsep baju dan persembahannya.
Terdahulu, beberapa pengguna Threads bertanyakan mengapa tangan Aina kelihatan agak gelap dan tona warna yang tidak sama dengan wajahnya.
Sebelum ini, Aina menerusi hantaran di Instagram berkongsi konsep persembahan lagu Kamu yang membawa simbolik kepada luka akibat pengkhianatan serta kemarahan yang lama dipendam sebelum akhirnya diluahkan.
Konsep gunung berapi pula dijadikan metafora kepada perjalanan emosi yang bermula jauh di dalam hati, terus membara dan akhirnya meletus sebagai luahan yang tidak lagi dapat dibendung.
Konsep berkenaan turut diterjemahkan menerusi busana rekaan Melinda Looi yang menggambarkan hati dan jiwa yang terluka akibat dikhianati, namun tetap kelihatan indah pada luaran.
Pada malam kemuncak AJL40, Aina berjaya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik serta anugerah Ikon Shopee. Penyanyi itu turut diumumkan sebagai wakil Malaysia ke Eurovision Asia Song Contest 2026.
Sumber: Instagram
The post AJL40: Tangan Aina Abdul Dipersoal Lebih Gelap Berbanding Wajah, Jurusolek Beri Penjelasan – ‘Kesan Arang Ikut Konsep’ first appeared on OHBULAN!.





