
Pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki berkongsi berita gembira apabila memaklumkan telah menimang cahaya mata perempuan hasil perkahwinannya bersama isteri, Datin Marcella pada Ogos 2023.
’10 bulan lepas, saya timang cahaya mata’

Pemilik nama Afdlin Shauki Aksan, 54, meluahkan rasa syukur dan gembira kerana kelahiran anak kesayangannya itu memberi makna yang cukup besar buat dirinya.
10 bulan lepas, saya menimang seorang cahaya mata.
Alhamdulillah, kami bersyukur sangat-sangat kerana mendapat rezeki seorang anak perempuan.
Mengulas lanjut, Afdlin mengakui pengalaman bergelar bapa pada usia yang lebih matang memberi perspektif berbeza dalam kehidupannya.
Perasaan saya ada anak kecil ketika di usia sekarang, sangat seronok seperti diberi peluang kedua untuk menjadi seorang bapa.
Saya rasa sangat gembira dapat menjaga anak kecil pada umur sekarang.
Afdlin berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Global Station Sdn Bhd yang berlangsung di Kemensah Height pada Selasa.
Mengenang kembali zaman menjadi bapa muda, Afdlin berkata ketika itu dia terlalu sibuk bekerja demi memberikan kehidupan terbaik kepada anak-anak, namun masa bersama mereka agak terhad.
Dulu sebagai bapa yang muda, saya sibuk bekerja sebab nak berikan yang terbaik untuk anak-anak tapi akhirnya tak berjumpa dengan anak. Tahu-tahu anak-anak dah besar.
Tapi bila sekarang, saya dapat luangkan lebih masa dengan anak.
Dalam pada itu, Afdlin menjelaskan belum bersedia untuk mendedahkan wajah anaknya kepada umum dan hanya akan berbuat demikian apabila anaknya mencecah usia lebih dua tahun.
Bila umur dia nak lebih dua tahun, baru saya akan tunjuk anak saya.
Afdlin juga akui dia mengambil pendekatan untuk tidak terlalu berkongsi hal-hal peribadi kepada umum kerana menghormati dan menjaga privasi keluarga.





