
Pengacara, Datuk AC Mizal enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan syarikat stesen TV miliknya iaitu Suke TV yang didakwa gagal membayar gaji pekerja.
Isu gagal bayar gaji

AC atau nama sebenar Mizal Zaini, 54, berkata, dia menyerahkan isu berkenaan kepada pihak mahkamah bagi untuk menyelesaikan dan membersihkan nama baiknya yang sudah tercalar.
Itu sekarang dalam peringkat mahkamah, kami sedang saling menyaman dan saya serahkan kepada pihak peguam.
Urusan itu juga akan berjalan selepas raya, memang tiada perjumpaan luar kerana saya lebih suka selesaikan di mahkamah.
Dalam pada itu, AC turut menepis dakwaan mengatakan syarikat tersebut bakal menamatkan operasinya tidak lama lagi.
Suke TV berjalan seperti biasa, belum bankrap dan masih beroperasi seperti biasa. Akan ada berita gembira tidak lama lagi. Alhamdulillah kami sudah tiga tahun, banyak perancangan yang akan dilakukan selepas ini.
Tak patah semangat

Percaya dengan pasang surut perniagaan, AC bagaimanapun tidak patah semangat untuk terus mengembangkan stesen TV tersebut.
Asam garam perniagaan itu ada, turun naik pun ada tapi kami uruskan dengan sebaik mungkin. Kadang kala perniagaan ini memerlukan perancangan yang betul, saya tak nak hebahkan tetapi semuanya terbengkalai.
Disebabkan kami bersaing dengan stesen televisyen lain kami kena lihat masa sesuai. Pelaburan diperlukan untuk konten besar jadi kami perlu pastikan stesen lain memberi ruang kepada kami yang kecil.
Terdahulu seorang personaliti TV mendedahkan gajinya ketika berkhidmat di sebuah stesen televisyen masih lagi tidak dilunaskan.
Selain pengacara tersebut, terdapat juga beberapa individu yang mendakwa berdepan nasib sama.
Bukan hanya berdepan isu pembayaran gaji tetapi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut tertunggak.
Susulan itu, AC tampil dengan satu kenyataan memberitahu dakwaan buruk dilemparkan terhadap stesen itu merupakan satu fitnah dan dia tidak teragak-agak untuk membawa perkara itu ke mahkamah.





