Setiap kali Ramadan menjelma, bazar menjadi antara destinasi wajib bagi pengunjung untuk membeli juadah. Pada waktu petang, kawasan ini bertukar menjadi lautan manusia yang teruja memilih hidangan kegemaran untuk berbuka puasa.
Dari kuih tradisional hingga ke hidangan viral, semuanya tersedia di sini. Berikut adalah 10 makanan popular yang sering menjadi pilihan rakyat Malaysia.
Artikel Berkaitan: 8 Bazar Ramadan Paling Popular & Mencuri Tumpuan Netizen Di Lembah Klang!
Artikel Berkaitan: Bulan Ramadan Dah Dekat? Ini Menu Viral, Mudah & Sedap Korang Boleh Masak!
1.Murtabak

Murtabak antara juadah yang tidak pernah lapuk dek zaman dan menjadi antara pilihan utama pengunjung bazar.
Ia biasanya diisi dengan daging atau ayam cincang bersama telur dan bawang, lalu digoreng hingga keemasan. Murtabak juga tidak lengkap tanpa kuah kari dan cuka bawang.
2.Roti john

Roti John bukan sekadar roti biasa. Gabungan roti lembut bersaiz panjang, telur gebu dan inti berempah menjadikannya antara menu paling dicari setiap kali menjelang waktu berbuka.
Orang ramai juga rata-rata dilihat sanggup beratur untuk mendapatkan roti john kerana ia merupakan satu hidangan yang ringkas tetapi mengenyangkan.
3.Ayam percik

Setiap kali bazar Ramadan dibuka, gerai ayam percik antara yang paling awal diserbu pembeli. Warna kuahnya yang merah keemasan dan bau ayam dibakar sudah cukup menarik perhatian dari jauh.
Menu ini disediakan dengan menggunakan bahan-bahan seperti santan, halia, rempah ratus, kunyit, serai dan herba.
4.Tepung pelita

Walaupun pelbagai pencuci mulut moden muncul setiap tahun, tepung pelita tetap mempunyai tempat istimewa di hati penggemar kuih tradisional.
Lapisan hijau pandan yang lembut dipadankan dengan santan putih berlemak di atasnya mencipta rasa manis dan masin yang cukup seimbang. Rasanya yang sederhana dan memikat menjadikannya pilihan wajib setiap Ramadan.
5.Cara berlauk

Bagi peminat kuih tradisi, cara berlauk merupakan antara pilihan wajib ketika berbuka puasa.
Ia diperbuat daripada adunan tepung dan santan, kemudian diletakkan inti seperti daging atau ayam sebelum dibakar dalam acuan khas. Taburan daun bawang dan cili merah di atasnya juga menambah seri sehingga ramai yang tergoda untuk membeli.
6.Apam balik

Mana satu pilihan anda, apam balik nipis dan rangup atau yang tebal? Kedua-duanya sebenarnya sangat popular dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Meskipun menggunakan bahan yang mudah, iaitu adunan tepung manis yang dimasak di atas kuali rata serta diisi dengan kacang tanah, jagung dan gula, namun kombinasi sempurna itu membuatkan pengunjung bazar akan membeli lebih daripada satu.
7.Putu bambu

Putu bambu antara kuih tradisional yang tidak pernah gagal memikat hati.
Putu bambu adalah kuih tradisional Melayu yang diperbuat daripada beras pulut atau beras kisar, diisi gula merah dan dikukus di dalam buluh. Ia terkenal dengan aroma pandan dan kelapa parut di atasnya.
8.Sate

Bazar tidak akan lengkap tanpa sate. Biarpun banyak juadah lain tersedia, sate tetap menjadi pilihan ramai setiap kali Ramadan.
Kuah kacangnya pekat, daging yang lembut dan aroma dibakar menjadikannya antara juadah yang laris dijual.
9.Kebab

Kebab adalah hidangan berasal dari Timur Tengah yang popular di Malaysia. Ia biasanya dibuat daripada daging ayam, lembu atau kambing yang diperap dengan rempah. Kebab dihidangkan bersama roti pita atau roti lapis berserta sayuran dan sos pilihan.
Selain itu, pengunjung bazar juga pastinya turut tertarik apabila melihat daging kebab yang diperap rapi berputar perlahan di atas bara api.
10.Popia basah

Popia basah adalah makanan tradisional yang diperbuat daripada kulit popia nipis, diisi sayuran segar, daging, ayam atau udang dan biasanya dimakan bersama sos kacang atau cili manis.
Ia terkenal kerana teksturnya yang lembut dan rasa seimbang antara manis, masin dan sedikit pedas.
Walau bagaimanapun, dalam keterujaan membeli juadah di bazar Ramadan, kita juga diingatkan untuk sentiasa bersyukur dan bersederhana menikmati makanan supaya dapat menghindari pembaziran.
Ramadan adalah bulan keberkatan dan ibadah, bukan pesta makanan. Jadi jangan biarkan nafsu mengawal diri anda.
Sumber: Unilever Food Solutions, Purple Durian
The post 10 Juadah Wajib Tapau Di Bazar Ramadan, Murtabak & Roti John Memang Tak Pernah Tinggal! first appeared on OHBULAN!.





