Kalau dulu naik pengangkutan awam sebab “terpaksa”, sekarang nampaknya makin ramai yang pilih rel dan bas sebagai rutin harian. Terbukti, Prasarana Malaysia Berhad berjaya mencatat 1.63 juta perjalanan penumpang dalam sehari pada 31 Disember 2025, angka tertinggi sepanjang penubuhannya.
Pencapaian ini bukan sekadar nombor cantik, tapi cerminan kepercayaan pengguna terhadap perkhidmatan pengangkutan awam yang makin stabil, konsisten dan mesra pengguna.
Penggunaan harian naik mendadak

Sepanjang tahun 2025, purata perjalanan penumpang harian meningkat 11%, daripada 1.18 juta (2024) kepada 1.31 juta.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, peningkatan ini membuktikan operasi rel dan bas PRASARANA semakin boleh diharap dari segi ketepatan masa, kebolehpercayaan dan kelancaran perjalanan.
Kurang gangguan & lebih lancar
Satu lagi fakta yang buat pengguna tarik nafas lega adalah dimana gangguan perkhidmatan rel berjaya dikurangkan sebanyak 56%.
Daripada 71 gangguan (2024) kepada hanya 31 gangguan pada 2025. Ini hasil usaha berterusan sejak 2021, termasuk penyelenggaraan aset yang lebih sistematik, pengurusan operasi lebih cekap dan fokus kepada pengalaman penumpang.
Bas pun diperkasa. Armada bertambah, lebih moden & mesra alam

Bukan rel saja yang diperkasa. Dari segmen bas pula, ketersediaan perkhidmatan RapidBus meningkat kepada 1,355 bas, berbanding 1,165 bas pada tahun sebelumnya termasuk perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD).
Lebih menarik, proses pemodenan armada sedang giat dijalankan:
- 310 bas diesel baharu dijangka lengkap sepenuhnya menjelang Februari 2026
- 250 bas elektrik (fasa pertama) disasarkan tiba Mac 2026
- Keseluruhan perolehan bas elektrik dijangka siap Mac 2027
Langkah ini bukan saja tambah keselesaan, tapi juga lebih mesra alam.
Hentian bas dan laluan pejalan kaki dipertingkat
Dari segi kemudahan fizikal, PRASARANA telah menyiapkan:
- 301 hentian bas
- 16 laluan pejalan kaki
Dalam masa sama, 43 hentian bas dan 17 laluan pejalan kaki lagi masih dalam pembinaan, demi akses yang lebih selamat, selesa dan inklusif untuk semua pengguna.
Digital My50 & MyRapid PULSE mendapat sambutan yang baik!
Pendigitalan Pas Bulanan My50 (Digital Transit Pass) yang dilancarkan pada 1 Julai 2025 menunjukkan sambutan positif. Setakat Disember 2025:
- 37% pengguna My50 sudah beralih ke versi digital
- 556,618 pas Digital My50 dibeli secara kumulatif (Julai–Disember 2025)
Tak cukup dengan itu, aplikasi MyRapid PULSE versi baharu yang dilancarkan pada 1 Mei 2025 turut menjadi pilihan pengguna, dengan:
- 240,000 muat turun
- 96,000 pengguna aktif
- 34,426 pengguna aktif mingguan menggunakan fungsi real-time bus tracking
Siap ada ciri Jelajah Bandar untuk bantu rancang perjalanan sambil terok lokasi menarik sekitar Lembah Klang.
Mobiliti diperkasa, pengalaman diperkaya. Dah tiba masa untuk tukar rutin harian!
Selari dengan slogan “Memajukan Mobiliti, Memperkaya Pengalaman”, segala inisiatif yang dilaksanakan oleh Prasarana Malaysia Berhad jelas membuktikan komitmen mereka dalam membina sistem pengangkutan awam yang lebih efisien, moden dan berteraskan keperluan pengguna bukan sekadar sampai ke destinasi, tapi sampai dengan lebih tenang, terancang dan konsisten.
Kalau sebelum ini masih ragu untuk bergantung pada pengangkutan awam, mungkin sekarang masa terbaik untuk cuba semula.
Dengan Digital My50 dan perancangan perjalanan lebih pintar menerusi MyRapid PULSE, perubahan yang dirasai hari ini bukan lagi janji kosong dan ia sudah dinikmati oleh lebih 1.6 juta penumpang setiap hari.
Kurang stres, lebih jimat. Pengangkutan awam kini bukan pilihan terakhir, tapi pilihan bijak.
The post 1.63 Juta Penumpang Sehari, PRASARANA Catat Rekod Tertinggi Dalam Sejarah! first appeared on OHBULAN!.





