Wanita Umno Pasir Salak hari ini sebulat suara meluluskan usul mendesak pucuk pimpinan tertinggi supaya menarik balik penggantungan keahlian bekas ahli Parlimen kawasan itu, Tajuddin Abdul Rahman.
Ketuanya, Rahayu Tajuddin, berkata usul itu dikemukakan dalam mesyuarat perwakilan Wanita Umno Pasir Salak bagi menunjukkan sokongan akar umbi kepada bekas ketua bahagian itu.
Katanya, Tajuddin ialah seorang yang setia kepada parti meskipun tindakan dikenakan terhadapnya.
"Dulu beliau kena ISA dan kini digantung, namun beliau tidak pernah berganjak. Kesetiaan tidak boleh dijual beli, jasa beliau sangat banyak.
"Wanita Umno Pasir Salak memohon agar ditarik balik penggantungan keahlian ayahanda Datuk Seri Tajuddin.
"Kami Wanita Umno Pasir Salak menghargai sokongan ini," katanya ketika berucap.
Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno bahagian itu dirasmikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Md Alwi Che Ahmad.

Tajuddin dan isteri Rohkiah Abdul Samat turut hadir pada majlis berkenaan.
Mengulas lanjut, Rahayu berkata, pihaknya percaya penarikan penggantungan keahlian Tajuddin akan memperkukuhkan lagi Umno Pasir Salak.
Katanya, keputusan itu juga pastinya akan memberi kelegaan kepada penyokong setia Tajuddin di Pasir Salak.
Pada Okt 2022 Tajuddin digantung keahliannya selama enam tahun oleh Umno kerana kritikan terbuka terhadap parti itu.
Antara lain dia menyifatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai "liabiliti" untuk parti itu, dan menggesanya untuk letak jawatan.
Turut digantung keahlian daripada Umno ialah Ahli Parlimen Sembrong, Hishamuddin Hussein.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan Tajuddin telah empat kali mengemukakan rayuan kepada pucuk pimpinan Umno supaya penggantungannya ditarik balik.





