25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Wan Fayhsal jangka Bersatu tak mampu sekat Hamzah dalam PN

    Shopee Sale

    Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berpendapat bekas parti yang dianggotainya – Bersatu – mungkin terketepi dari PN dalam mesyuarat majlis tertinggi (MT) mereka selepas ini.

    Bercakap kepada Malaysiakini, Wan Ahmad Fayhsal berkata pengundian dalam kalangan anggota MT PN akan datang akan memutuskan langkah lanjut Hamzah Zainudin yang ingin kekal menjadi sekutu gabungan pembangkang tersebut.

    Untuk rekod MT PN itu dianggotai pemimpin kanan Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). Bekas ketua Pemuda Bersatu itu mendakwa semua parti – kecuali Bersatu – menunjukkan tanda positif terhadap kumpulan diketuai Hamzah.

    “Jika majoriti anggota MT memutuskan untuk menerima parti (baru) Hamzah, siapakah Bersatu untuk mempersoalkannya?

    “Bersatu kena ingat bahawa 19 ahli parlimen, termasuk Hamzah, sudah mengisytiharkan sokongan masing-masing kepada PN.

    “Kalau Bersatu nak sekat kami tapi PAS menerima, siapa Bersatu nak menghalang PAS dan parti-parti lain daripada menerima kami?” katanya yang juga bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu lagi.

    Sejak dipecat Bersatu pada 14 Feb lalu Hamzah telah melancarkan gerakan “Reset” sebagai lanjutan percaturan politiknya. Pun begitu Ahli Parlimen Larut berkenaan masih berteka-teki mengenai parti yang akan disertainya.

    Sebelum ini Hamzah dilihat disenangi PAS yang menjadi parti terbesar dalam PN berdasarkan bilangan kerusi yang mereka menangi dalam PRU lalu.

    Langkah amat berani Hamzah

    Dalam satu temu bual bersama media, ahli politik kanan itu juga menunjukkan kesediaan untuk memimpin “wadah politik baru” menjelang PRU akan datang.

    Selain ahli biasa Bersatu di seluruh negara, Hamzah mendakwa dia mendapat sokongan 18 ahli parlimen pembangkang termasuk yang dipecat atau digantung Bersatu.

    Dalam perkiraan itu, Presiden Bersatu – Muhyiddin Yassin – hanya didukung oleh baki lima ahli parlimen lain.

    Keadaan itu, kata Wan Ahmad Fayhsal, menjadikan Muhyiddin dan Bersatu berada dalam keadaan sangat lemah.

    Bagaimanapun sebelum ini Muhyiddin dan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, serta yang sehaluan dengan mereka mendakwa parti itu semakin kukuh dengan kemunculan muka-muka baru bagi menggantikan penyokong Hamzah.

    Hamzah Zainudin

    Semalam, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, mengesahkan Hamzah sudah menulis surat peletakan jawatan sebagai ketua pembangkang. Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS memberitahu media, dia sudah mengarahkan Setiausaha Agung PN memaklumkan pengosongan jawatan tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul.

    MENARIK:  Dulu nak makan pun susah - kisah 'bapa pendrive' kelahiran Malaysia

    Katanya, sebaik saja Hamzah mengemukakan surat peletakan jawatan berkenaan, secara automatik dia bukan lagi ketua pembangkang.

    Mengulas mengenai peletakan jawatan Hamzah, Wan Ahmad Fayhsal menyifatkan keputusan itu sebagai "langkah amat berani” dengan mengambil kira kepentingan PN secara keseluruhan.

    Katanya, PN tidak boleh dilihat bergolak kerana isu ketua pembangkang di sebalik usaha dilakukan Bersatu untuk menunjukkan keadaan sebegitu.

    “Hamzah berjiwa besar untuk meletakkan jawatannya sebab dia bukan lagi ahli PN.

    “Adapun apa yang kami akan buat seterusnya – seperti telah dijelaskan oleh Hamzah yang dia akan menyertai semula PN melalui parti baru atau menyertai parti sedia ada seperti PAS, Gerakan atau MIPP – itu belum pasti.

    “Apa yang pasti dia akan sertai semula PN dan kami akan mengikuti beliau. Seramai 18 ahli parlimen yang menyokongnya akan bersama-sama beliau, cuma kami belum tahu parti mana.

    “Mungkin juga Parti Keluarga Malaysia, parti baru yang akan memohon masuk,” katanya.

    Muhyiddin Yassin

    Pada masa sama, Wan Ahmad Fayhsal mengakui ada isu “teknikal” yang perlu diuruskan sebelum langkah lanjut mereka dimuktamadkan khususnya melibatkan akta antilompat parti.

    “Ya, ada beberapa perkara melibatkan aspek teknikal yang mesti disahkan terlebih dulu dengan Speaker Dewan Rakyat.

    “Untuk perkara itu, saya tak mahu komen banyak dan serahkan ia kepada bos saya (Hamzah) untuk menyusun peranancangan.

    “Saya follow saja dia,” katanya.

    Selain Hamzah dan Wan Fayhsal, Ahli Parlimen Bersatu lain yang dipecat ialah Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Saifuddin Abdullah (Temerloh), Fathul Huzir Ayob (Gerik), dan Azahari Hassan (Padang Rengas).

    Ahli parlimen yang digantung pula termasuk bekas naib presiden, Ronald Kiandee (Beluran) dan bekas ketua wanita, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah