Usul untuk menyeragamkan beberapa agensi kerajaan bagi menangani isu pertindihan fungsi akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet tidak lama lagi, kata perdana menteri
Menurut Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan, perkara berkenaan perlu dibawa kepada pengetahuan jemaah menteri terlebih dahulu sebelum keputusan mengenainya dibuat.
“Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Asri Hamidon telah saya tugaskan untuk mengemukakan beberapa usul bagi menyeragamkan beberapa agensi, yang akan dibawa kepada Ketua Setiausaha Negara.
“…dan saya akan membuat keputusan setelah ia dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Pada 3 Sept lalu Anwar mengumumkan, kerajaan telah menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara.
Susulan itu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan Asri untuk mengetuai Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan berkuat kuasa 10 Sept 2024.





