Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan pihaknya telah memulakan tindakan tatatertib terhadap dua mahasiswa yang didakwa terbabit dalam kekecohan dengan pihak berkuasa selepas satu protes terhadap perobohan di sebuah kampung di Kudat, Sabah, bulan lalu.
Universiti itu berkata tindakan berkenaan dibuat berdasarkan maklumat diterima mengenai dakwaan pembabitan dua mahasiswa terbabit dalam insiden yang menurutnya "menjejaskan ketenteraman awam serta kepentingan, nama baik dan integriti universiti."
UMS memaklumkan semua proses akan dijalankan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Sabah) (Tatatertib mahasiswa) 2024, undang-undang subsidiari di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang sebelum ini sering mencetuskan kontroversi.
“UMS memandang serius sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta reputasi institusi, dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara adil, telus dan mengikut lunas peraturan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan Pejabat Penasihat Undang-Undang UMS.

Universiti itu turut menegaskan pihaknya menghormati hak mahasiswa untuk menyuarakan pandangan dan menyatakan pendirian terhadap pelbagai isu yang membabitkan kepentingan awam serta komuniti setempat.
“Namun demikian, kebebasan tersebut hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan berpandukan lunas undang-undang, memelihara ketenteraman awam, serta mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya.
UMS menambah prosiding berkaitan tindakan tatatertib itu sudah dimulakan, namun keputusan mengenai hukuman masih belum ditentukan.
Malaysiakini mendapatkan maklum balas UMS susulan dakwaan dua mahasiswanya dikenakan prosiding bawah AUKU selepas dikatakan mempertahankan komuniti mereka daripada ancaman perobohan dan dakwaan rasuah.

Insiden pada 19 Mei di Kampung Asaon, Matunggong, Kudat, dilaporkan membabitkan konflik tanah adat yang membawa kepada operasi perobohan rumah dan pengusiran penduduk.
Malaysiakini difahamkan universiti itu mengenakan lima pertuduhan terhadap mahasiswa berkenaan, yang didakwa membentuk kesalahan tatatertib, dengan UMS merujuk kepada penahanan serta reman susulan dakwaan pembabitan mereka dalam protes itu.
Bagaimanapun, semakan Malaysiakini mendapati walaupun mahasiswa berkenaan ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, mereka tidak direman untuk siasatan lanjut.
UMS juga difahamkan melabel insiden itu sebagai “aktiviti luar kampus” yang berpotensi memberi kesan buruk kepada universiti.

Dua daripada lima pertuduhan itu juga difahamkan merujuk kepada poster yang disebarkan di media sosial oleh kumpulan mahasiswa Suara Mahasiswa UMS berhubung perhimpunan “Gempur Rasuah Sabah” kali ketiga.
Bagaimanapun, UMS menjelaskan kepada Malaysiakini tindakan yang sedang berjalan terhadap mahasiswa terbabit tidak membabitkan demonstrasi antirasuah itu, sebaliknya hanya tertumpu kepada apa yang berlaku ketika protes di kampung berkenaan.
UMS turut menafikan mengambil tindakan terhadap mahasiswanya berkaitan mana-mana perhimpunan Gempur Rasuah Sabah.
BACA LBERKAITAN:
PM pesan jangan buang pelajar UMS terlibat bakar karikatur - menteri
Jika didapati bersalah, mahasiswa terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500, digantung atau dibuang daripada UMS, dihalang menduduki peperiksaan, atau diusir mahupun dilarang tinggal di kolej kediaman universiti.

Dalam kenyataan pada 15 Jun, penyelaras Mandiri, Hamdin Nordin berkata tindakan tatatertib terhadap mahasiswa terbabit menimbulkan kebimbangan serius terhadap keadaan kebebasan akademik dan ruang demokrasi di institusi pengajian tinggi.
Dia menegaskan tindakan mendisiplinkan mahasiswa kerana pembabitan mereka dalam isu awam berisiko mewujudkan suasana takut di kampus dan melemahkan fungsi universiti.
“Mandiri menegaskan bahawa mahasiswa tidak wajar dilayan sebagai ancaman hanya kerana mereka mengambil pendirian terhadap isu keadilan sosial, hak komuniti dan integriti pentadbiran.
“Universiti sepatutnya menjadi ruang yang menggalakkan pemikiran kritikal, bukan mengekangnya melalui tindakan tatatertib yang bersifat menekan,” kata Hamdin.

Mandiri turut menggesa semua prosiding, siasatan atau tindakan tatatertib bawah AUKU terhadap mahasiswa berkaitan kebebasan bersuara dan advokasi komuniti dihentikan segera.
“Memansuhkan AUKU segera kerena boleh disalahgunakan sehingga menjejaskan kebebasan akademik dan hak bersuara mahasiswa,” tegasnya.
Dalam kenyataan berasingan semalam, Liga Mahasiswa Malaysia mempersoalkan kegagalan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, menunaikan janji mengadakan dialog terbuka bersama gerakan mahasiswa selewat-lewatnya pada Mei lalu.
Kumpulan itu berkata ketiadaan sebarang perkembangan selepas lebih dua minggu memasuki Jun membuktikan komitmen berkenaan hanya retorik politik bagi meredakan tekanan dan kemarahan mahasiswa.

“Kami melihat bahawa Saudara Adam Adli tidak berani berhadapan secara terbuka dengan gerakan mahasiswa. Sebaliknya, cuba mewujudkan persepsi palsu bahawa kerajaan sedang mendengar aspirasi mahasiswa,” katanya.
Liga Mahasiswa Malaysia turut memandang serius tindakan mengenakan prosiding AUKU terhadap dua mahasiswa UMS, Fida’ dan Qayyum, hanya kerana membangkitkan isu rasuah di Sabah.
Menurut kumpulan itu, keadaan bertambah membimbangkan apabila didakwa Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pendidikan Tinggi membuat laporan polis terhadap Brendon Gan, mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkaitan satu hantaran mengenai AUKU selepas pertemuan bersama Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir.
“Situasi ini jelas menggambarkan bahawa KPT semakin bacul dan cuba melarikan diri daripada berhadapan mahasiswa dengan meletakkan instrumen undang-undang sebagai alat kawalan untuk terus mengekang kemarahan dan tekanan mahasiswa.
"Liga Mahasiswa Malaysia mengecam tindakan kerajaan Madani yang masih menggunakan undang-undang lapuk terhadap mahasiswa dan menuntut untuk menghentikan segala prosiding dan siasatan terhadap mahasiswa.,” katanya.
Liga Mahasiswa Malaysia turut menyeru seluruh gerakan mahasiswa supaya terus mengekalkan solidariti dan mengangkat isu mahasiswa, rakyat serta nasional selari dengan kebebasan akademik dan autonomi mahasiswa.
[Baca berita asal]





