29 C
Kuala Lumpur
Friday, July 31, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Umno Jaga Melayu? RCI Tabung Haji menjawabnya

    Shopee Sale

    Frantz Fanon, seorang psikiatri kelahiran Martinique yang diiktiraf sebagai antara pemikir revolusi paling tajam abad ke-20, menulis magnum opusnya, The Wretched of the Earth, ketika sedang bergelut dengan barah darah. Karya itu seakan-akan menjadi wasiat intelektualnya, meninggalkan amaran kepada bangsa-bangsa yang baharu merdeka.

    Amaran Fanon ringkas. Apabila penjajah berundur, sesuatu bangsa itu tidak semestinya benar-benar bebas kerana sering muncul satu golongan elit tempatan yang beliau namakan sebagai borjuasi nasional. Mereka menyarung simbol dan bahasa bangsa sendiri semata-mata untuk mewarisi takhta penjajah, bukannya membebaskan rakyat.

    Sejarah kita sendiri pernah menyaksikan kitaran yang hampir serupa. Ketika tentera Jepun menceroboh Tanah Melayu pada awal 1940-an, mereka mengangkat slogan "Asia untuk Asia" di bawah gagasan Lingkungan Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya. Janjinya mudah, iaitu Asia akan kembali diperintah oleh anak watan, setelah sekian lama berada di bawah cengkaman kuasa Barat.

    Retoriknya memukau, namun realitinya rakyat Tanah Melayu direntap ke lembah kerja paksa, kebuluran dan inflasi "duit pisang" yang tidak kurang zalim berbanding penjajah yang cuba digantikan. Nama besar "Asia" hanya kain rentang untuk menyembunyikan wajah sebenar penjajahan baharu.

    Amaran Fanon dan igauan lama Tanah Melayu ini wajar direnung semula setiap kali slogan "Melayu jaga Melayu" atau lebih tepat “Umno jaga Melayu” yang sering digemakan rancak dalam gegak-gempita politik tanah air. Adakalanya, kita mesti kritikal dalam menilai keserasian antara percakapan dan perbuatan.

    Retorik boleh dipinjam daripada nama bangsa sendiri, namun ia tidak pernah menjamin bangsa itu benar-benar dijaga. Pertanyannya, adakah Umno golongan pembebas yang mereka dakwa, atau sekadar borjuasi nasional Fanon berbaju Melayu?

    Jawapannya hari ini terjawab melalui laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji, yang baru sahaja diluluskan Kabinet untuk didedahkan kepada umum pada 29 Julai 2026.

    Tanpa perlu memutar belit naratif, ia membezah, dengan angka dan fakta, bagaimana institusi paling suci milik Melayu-Islam ini dibiarkan mereput dalam senyap di bawah pengawasan mereka sendiri. RCI ini menyiasat tempoh 2014 hingga 2020, tempoh yang hampir sepenuhnya berada dalam genggaman Barisan Nasional pimpinan Umno, dengan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selaku Pengerusi Lembaga Tabung Haji sejak 2013 sehingga selepas PRU-14 pada 2018.

    Manakala Kementerian Hal Ehwal Agama pula digalas Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Kedua-duanya darah daging Umno. Maka, bila Umno gah mendabik dada sebagai penjaga Melayu, Tabung Haji adalah saksi paling telanjang yang membongkar muslihat retorik itu. Apakah Umno lupa betapa pentingnya institusi ini kepada orang Melayu-Islam di negara ini?

    Sebelum berbahas lanjut, kita perlu fahami dahulu betapa agungnya erti Tabung Haji kepada orang Melayu-Islam. Benih penubuhannya lahir daripada pemikiran Profesor Ungku Abdul Aziz, seorang cendekiawan yang mengemukakan gagasan tersebut jauh mendahului pelbagai dasar rasmi kerajaan pada zamannya.

    Pada awal 1950-an, Ungku Aziz menyaksikan bakal jemaah haji Melayu menjual tanah, ternakan, malah bumbung rumah sendiri demi mengumpulkan belanja ke Tanah Suci. Namun, ramai pulang dalam keadaan lebih miskin berbanding ketika berangkat.

    Penderitaan itu pula diperparah oleh eksploitasi ejen dan syeikh haji yang tidak berdaftar, tanpa sebarang mekanisme perlindungan. Disebabkan keprihatinan itulah, pada Disember 1959, Ungku Aziz mengemukakan memorandum bertajuk "Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji" kepada kerajaan, yang membawa kepada penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji pada 1963 dan seterusnya Lembaga Tabung Haji pada 1969.

    Sejarah ini wajib diselami sampai ke lubuk jiwa. Setiap ringgit yang tersimpan dalam Tabung Haji adalah darah peluh rakyat jelata, peniaga kecil, pesawah dan warga emas yang berhempas-pulas berpuluh tahun demi menyahut seruan Ilahi ke Baitullah.

    Bagi golongan tua yang menyimpan sejak muda, Tabung Haji adalah harapan terakhir menyempurnakan rukun Islam kelima sebelum ajal menjemput. Maka, sebarang kecuaian atau penyalahgunaan terhadap dana ini tergolong pengkhianatan terhadap amanah agama dan amanah rakyat sekali gus, jauh melangkaui skop kesalahan pentadbiran kewangan biasa.

    Apabila laporan RCI mendedahkan kegagalan tadbir urus sepanjang Tabung Haji "dijaga" oleh kepimpinan yang dilantik dan diselia Umno, timbul satu persoalan besar. Inikah yang dinamakan Melayu jaga Melayu?

    Seperti kata pepatah Melayu, harapkan pegar, pegar makan padi. Retorik perkauman yang dilaung-laungkan Umno bertahun-tahun akhirnya terbukti igauan kosong, dicampak ke bakul sampah sebaik sahaja kepentingan peribadi dan kroni mengambil alih takhta. Nama Melayu ditunggangi semata mengisi tekak sendiri, memuaskan nafsu serakah segelintir yang berselindung di sebalik jubah pembela bangsa.

    Angka yang didedahkan RCI cukup menyentak. Laporan itu mendapati Tabung Haji mengamalkan "perakaunan kreatif" pada 2017, melaporkan keuntungan RM3.4 bilion sedangkan hakikatnya institusi itu rugi RM1.4 bilion, satu jurang lebih RM4.8 bilion yang sengaja disorok daripada pendeposit.

    MENARIK:  Bung Moktar dilepaskan tapi kes Zizie Izette tetap dibicara

    Secara keseluruhan, kerugian sebenar sepanjang 2014 hingga 2020 dianggarkan melebihi RM10 bilion. Dalam pada itu, sepanjang 2014 hingga 2017, hibah tetap dibayar melangkaui kemampuan kewangan sebenar, termasuk RM2.75 bilion pada 2017 sahaja walaupun institusi sudah defisit.

    Bonus staf turut dibayar antara dua hingga tiga belas bulan gaji ketika institusi lintang-pukang menghadapi masalah kewangan. Lebih parah, ahli-ahli politik yang aktif turut bertakhta dalam lembaga pengarah antara 2014 hingga 2018, mempengaruhi keputusan dividen, yuran haji dan bantuan kewangan berdasarkan pertimbangan politik. Inilah wajah sebenar sikap sakau segelintir pemimpin Umno terhadap darah peluh umat.

    Untuk menyelami betapa dahsyatnya kerugian ini, kita perlu nilai dengan angka matematik. Misalnya, berdasarkan kadar rasmi Tabung Haji bagi musim haji 2025/2026, kos penuh menghantar seorang jemaah haji ialah RM33,300.

    Sekiranya RM10 bilion yang lesap itu digunakan sepenuhnya menampung kos haji tanpa perlu golongan B40 dan M40 menanggung sebarang caj, jumlah itu cukup menghantar lebih 300,000 jemaah haji Melayu-Islam ke Tanah Suci secara percuma.

    Kuota rasmi haji Malaysia pula hanya 31,600 orang setahun. Ertinya, wang yang disakau akibat kegagalan tadbir urus Umno ini cukup membiayai keseluruhan kuota haji negara secara percuma hampir satu dekad berturut-turut. Bayangkan, hampir 10 tahun rakyat Melayu-Islam boleh menyempurnakan rukun Islam kelima tanpa perlu risau soal kos, sekiranya amanah itu dijaga dengan sebaiknya.

    Persoalan amanah bukan perkara enteng dalam Islam. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa antara tanda golongan munafik ialah apabila diberi amanah, dia mengkhianatinya. Wang simpanan haji adalah darah peluh umat, terhimpun daripada titik keringat berjuta rakyat yang mendambakan seruan agama. Ia tidak layak dipermainkan demi kepentingan jangka pendek segelintir pemimpin. Sesiapa sahaja yang digalas amanah sebegini sewajarnya lebih berhati-hati berbanding menguruskan hartanya sendiri.

    Menariknya, dalam episod ini, pihak yang selama ini kerap dituduh "anti-Melayu" dan "anti-Islam", iaitu DAP, sebenarnya antara yang bertungkus-lumus membersihkan kemelut ini.

    Pada penghujung 2018, Kementerian Kewangan yang ketika itu diterajui Lim Guan Eng menubuhkan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), sebuah entiti khas milik penuh Kementerian Kewangan, bagi mengambil alih aset-aset Tabung Haji yang bermasalah.

    Aset bernilai pasaran sekitar RM9.7 bilion itu diambil alih dengan bayaran RM19.6 bilion sukuk ditambah RM300 juta tunai, ertinya kerajaan menanggung lebih RM10 bilion demi menyelamatkan Tabung Haji daripada keruntuhan penuh.

    Aset itu hanya dipindahkan kepada entiti milik penuh kerajaan sendiri, namun DAP tetap dituduh "menjual aset orang Islam kepada bukan Islam". Akhirnya, DAP juga dijadikan ‘kambing hitam’ para sang penyakau ini untuk terus menunggang orang-orang Melayu walhal merekalah yang sebenarnya melemahkan bangsa ini.

    Kepimpinan hari ini, di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim, setidak-tidaknya wajar diberi kredit sewajarnya. Anwar menahan pendedahan laporan RCI ini sehingga sekurang-kurangnya 75 peratus daripada 25 syor pembaharuan tadbir urus RCI berjaya dilaksanakan dan sehingga Tabung Haji kembali mampu mengagihkan dividen 3.5 peratus bernilai RM3.22 bilion kepada 9.7 juta pendeposit pada 2025. Suka atau tidak kepada Anwar Ibrahim, harus diakui bahawa inilah antara ciri pembela sebenar kepentingan Melayu-Islam dalam episod ini.

    Maka, kembali kepada persoalan asal, Umno jaga Melayu? Enam puluh sembilan tahun dahulu, ketika parti itu berjuang membawa bangsa ini menongkah arus menuju kemerdekaan, mungkin sahaja dakwaan itu wajar dipertahankan.

    Namun apabila dakwaan yang sama masih dilaungkan hari ini, selepas RCI mendedahkan bagaimana institusi paling suci milik orang Melayu-Islam sendiri dibiarkan mereput dalam senyap demi mengekalkan takhta segelintir, laungan itu kini hanya bergema sebagai igauan yang agak memualkan untuk didengar berulang kali. Fanon pernah mengingatkan, borjuasi nasional gemar menyarung baju bangsa sendiri sambil menjarah miliknya sendiri. Umno, nampaknya, tidak lokek mengajar dunia erti amaran itu.


    ASHRAF HADI Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia merangkap Ketua Biro Latihan dan Pengkaderan AMK Malaysia.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah