ULASAN SUKAN | Sudah seminggu Robert Douglas Friend memulakan tugasan barunya selaku ketua pegawai eksekutif (CEO) di Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor.
Misi mencabar Friend ialah untuk melakar peranancangan jangka panjang untuk skuad kebangsaan bagi memastikan Harimau Malaya mencapai status membanggakan di Asia dan seterusnya memperbaiki ranking dunia pada satu tahap lebih terpuji.
Sesuatu yang nampak mengagumkan kita adalah, ketika sesi wawancara eksklusif bersama FAM TV baru-baru ini, Friend menceritakan betapa dia bercita-cita mahu membawa pasukan negara layak ke Piala Dunia-FIFA buat julung kalinya.
Bagi peminat tempatan dan pengkritik, naratif seperti itu akan mengundang pelbagai perkara untuk berlegar dalam minda masing-masing kerana kesan daripada perspektif bola sepak tanah air sejak sekian lama.
Apa pun, biarlah lelaki berusia 43 tahun berasal dari Kanada itu diberi ruang bernafas seketika untuk memulakan tugasan dari biliknya - menganalisis, melihat dan mempelajari budaya bola sepak negara. Ini termasuk mengenali secara dekat setiap pemain kebangsaan dan staf pengurusan pasukan.
Pihak media tetap boleh bertanya untuk mendapatkan pencerahan tambahan. Tetapi dalam tempoh seminggu atau dua ini dia mungkin tidak dapat bercakap apa-apa yang baru melainkan mengulang semula bicara awalnya.
Buat sementara, kita harus menerima mesej daripada Friend. Dia sudah pun menyebut bahawa keutamaannya ialah melaksana dan menjayakan pelan jangka panjang.
Mungkin tempoh enam bulan berikut akan memberi sedikit gambaran akan kemampuan sebenar Friend.
Bagi peminat tegar bola sepak, mereka pastinya berharap Friend dapat berbuat sesuatu yang gagal dilakar oleh tenaga import sebelum ini untuk mencatat sejarah gemilang.
Kerana itulah kita masih terkepung dengan naratif 'kegemilangan' masa lalu - kita pernah layak ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980.
Belajar dari negara timur
Memanglah, siapa yang tidak suka mengimbas detik kemasyhuran itu, kan?
Harus disedari, kedudukan Friend adalah jawatan baru diperkenalkan oleh FAM dalam usaha badan tersebut memulakan revolusi bagi tujuan penstrukturan skuad Harimau Malaya.
Perancangan dan pandangan Friend harus mendapat kerjasama secara kolektif daripada semua pihak jika kita bersepakat mahu menyinar di peringkat Asean sebelum dapat menakluki pentas Asia.
Friend yang juga bekas pemain kebangsaan Kanada perlu mendapat kerjasama daripada persatuan bola sepak negeri untuk mendapatkan input tambahan mengenai perkembangan pemain tempatan.
Setidak-tidaknya ia akan membuka mindanya betapa masih ada ramai lagi ‘bakat terpendam’ di seluruh negara yang boleh digilap.
Kalau Friend terbukti mahu lebih komited dan mendalami masalah bola sepak, ia satu petanda amat positif. Ini kerana proses berkenaan akan menunjukkan satu kesinambungan dalam program pembangunan bola sepak negara secara konsisten.

Ia bukan lagi bersifat terputus-putus dan terpaksa dimulakan semula oleh sesiapa saja watak baru yang dilantik FAM.
Pada masa sama mungkin FAM boleh belajar daripada kebangkitan tersusun Jepun atau Korea Selatan yang bersandar kepada pelan jangka panjang secara konsisten. Ketekalan mereka itulah yang membuahkan hasil sehinga mereka berjaya layak ke Piala Dunia secara merit.
Sejak era 1990-an sehingga 2022, kedua-dua pasukan tersebut - yang suatu ketika dulu setara saja dengan kita - tidak pernah gagal mara ke temasya bola sepak terbesar dunia itu.
Tetapi langkah yang wajar ialah tidak gelojoh. Biarlah kita mendominasi pentas bola sepak di peringkat Asean terlebih dulu.
Kita harus lebih kerap memenangi pingat emas pada Sukan SEA dan juga Piala Asean sebelum dapat kembali ‘mengusik’ Korea Selatan ataupun Jepun sepertimana pernah kita dilakukan pada era 1970-an dan 1980-an.
Harus akui hakikat
Sesuatu yang menarik ialah, Friend dengan ketinggian 1.95 meter merupakan seorang bekas penyerang dan kehadirannya di sini bagi satu tempoh panjang juga akan menjadi kelebihan.
Mungkin matanya lebih tajam dapat mengesan prospek baru penyerang negara.
Ini yang amat diperlukan kerana barisan peledak kita sesungguhnya ada kemahiran dan teknik yang bagus, cuma kerap kali menghampakan apabila sampai ke waktu penyudah. Peminat pun mengerti sangat hakikat yang disepakati di seluruh dunia - tiada jaringan, tiadalah kemenangan.
Pegawai FAM dan juga ketua jurulatih baru, Peter Cklamovski, pula boleh bertukar-tukar pandangan dengan Friend dalam usaha menjelmakan perwatakan lebih garang pada barisan penyerang.
Ia lebih berpusat pada sifat bijak membuat keputusan pantas dalam situasi genting iaitu mencari titik menggegarkan gawang lawan pada era moden ini.

Friend sendiri ada pengalaman ketika mewakili LA Galaxy dalam liga AS, dan juga ketika beraksi bersama beberapa kelab dari Jerman - 1860 Munich, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt dan Borussia Monchengladbach.
Sengatnya juga berbisa apabila menjaringkan 28 gol ketika mewakili Monchengladbach pada musim 2007-2010. Friend sepatutnya mengerti bagaimana nikmatnya menjaringkan gol pada persaingan tahap tertinggi.
Pandangan dan idea Friend memantapkan jentera serangan skuad negara harus dimanfaatkan sepenuhnya. Kita terpaksa mengakui mengenai jentera serangan masih tumpul untuk menterjemah peluang kepada jaringan.
Kepincangan ini sudah pun kita lihat sejak berdekad-dekad lamanya.
Bola itu bulat
Jadi, pelantikan Friend adalah suatu bonus kerana aspek serangan adalah antara revolusi yang harus dilakukan dalam penstrukturan bola sepak kita.
Secara logiknya, ini satu tugasan yang harus digalas oleh Cklamovski. Tetapi apa salahnya kita memanfaatkan kelebihan gabungan kepakaran dari Kanada dan Australia itu untuk membolehkan kita beraksi dengan meyakinkan di pentas antarabangsa.
Cuma, Friend Cklamovski perlu lebih peka dengan tugasan masing-masing agar tidak timbul isu pertindihan sesama sendiri semasa menguruskan Harimau Malaya nanti.
Biarlah Friend mencari ilham bagaimana mahu merangka pelan padu dan menyusun gerak untuk Malaysia layak ke Piala Dunia satu hari nanti, manakala Cklamovski mengatur barisan terbaik yang mampu menyalakan impian ke arah itu.
Ingat, Friend sudah pun menyebut kehadirannya adalah untuk jangka panjang dan ia perlu mengambil masa.
Apakah usaha mahu mengintai peluang itu bakal menyusul bagi edisi 2030 di Maghribi, Portugal dan Sepanyol? Ataupun apakah ia masih sesuatu yang mustahil dalam tempoh lima tahun berikut ini?
Mungkin dengan kehadiran beberapa lagi pemain naturalisasi dan pemain warisan yang lebih berkualiti yang digabungkan dengan bintang tempatan baru, hajat itu boleh kita jayakan. Jangan lupa, bola itu bulat.
Jika Friend dan Cklamovski sudah mula menyayangi bola sepak Malaysia, itu memang bagus. Lagi pun Malaysia, Kanada dan Australia adalah anggota negara Komanwel dari segi politik, maka sepatutnya tidaklah sesulit mana untuk kerjasama dan persefahaman dijalinkan.
Peminat bola sepak tanah air sudah melihat segala-galanya ketika pakar import lazimnya tidak dapat bertahan lama di negara ini atas pelbagai sebab. Justeru adil untuk kita mengharapkan agar kedua-dua tenaga import baru itu dapat memberi jawapan berbeza kali ini.
Sehingga detik itu kita hanya dapat menunggu dan melihat sahaja.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





