32.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 8, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN: Krisis integriti sempadan: Mengapa KLIA kerap ‘kecundang’?

    Shopee Sale

    ULASAN | Siri penahanan warga Malaysia di luar negara daripada seorang juruterbang syarikat penerbangan yang ditangkap bersama lebih 25 kilogram dadah jenis MDMA dan methamphetamine di Jakarta, hinggalah penahanan susulan di Lapangan Terbang Surabaya serta di Singapura bukan sekadar rentetan kes jenayah terpencil.

    Ia merupakan tamparan hebat kepada reputasi diplomasi dan keselamatan negara yang akhirnya memaksa Kabinet mengambil langkah drastik.

    Namun, di sebalik kemarahan awam dan pengumuman tindakan kecemasan oleh kerajaan, hakikatnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sedang berdepan krisis integriti dan kelumpuhan penguatkuasaan yang kronik.

    Penyeludupan merentasi pintu masuk utama negara khususnya KLIA bukanlah isu baru.

    Daripada rokok seludup, cecair vape, fauna eksotik, hinggalah ke bahan narkotik gred tinggi, aktiviti haram ini telah lama subur di celah-celah kelonggaran kawalan sempadan.

    Tatkala negara jiran seperti India menguatkuasakan larangan total terhadap vape, Malaysia dengan cepat dieksploitasi menjadi hub transit dan pemprosesan penyeludupan antarabangsa.

    Malangnya, penyeludupan skala kecil ini bertahun-tahun dianggap remeh oleh pihak berkuasa, sehinggalah penglibatan pegawai serta kru penerbangan berprofil tinggi.

    Kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bahawa bagasi juruterbang berkenaan melepasi imbasan keselamatan kerana tidak menghasilkan imej mencurigakan mungkin betul dari sudut teknikal pengimbas sinar-X.

    Namun, dari sudut penilaian risiko dan taktik keselamatan, alasan tersebut mendedahkan kerapuhan operasi yang amat membimbangkan.

    Bagaimana seorang juruterbang yang mengendalikan penerbangan jarak pendek ke Jakarta boleh membawa bagasi seberat 25 kilogram tanpa mencetuskan sebarang amaran am untuk pemeriksaan sekunder?

    Penerbangan kurang daripada dua jam secara logiknya tidak memerlukan muatan bersaiz gergasi bagi seorang kru yang bertugas.

    Ketiadaan protokol profil berdasarkan destinasi dan tempoh penerbangan membuktikan bahawa kawalan keselamatan di KLIA terlalu bergantung kepada mesin, bukannya kebijaksanaan naluri penguatkuasaan.

    Pada masa yang sama, taktik membungkus dadah menggunakan teknik sedutan udara atau lapisan bahan penebal tertentu bukanlah rahsia baru dalam dunia jenayah.

    Menggantungkan keselamatan sempadan sepenuhnya kepada paparan imej pengimbas tanpa ujian sapuan bahan kimia atau kelibat Unit Anjing Pengesan (K9) secara berkala pada kru penerbangan adalah satu kelemahan berstruktur yang sangat menakutkan.

    Punca utama kegagalan kawalan di KLIA sebenarnya terletak pada hierarki laluan pemeriksaan.

    Secara amnya, KLIA beroperasi dengan tiga zon pelepasan iaitu laluan awam yang dikenakan saringan ketat dan berlapis untuk penumpang biasa, laluan khas untuk golongan VVIP dan menteri, serta laluan risiko rendah di Pusat Pemprosesan Kru (CPC) khusus untuk kru penerbangan.

    Sebagai contoh CPC atau laluan khas yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di KLIA menjadi tempat counter setting atau 'sindiket fly' kerana tahap pengawasan yang rendah.

    Di sinilah letaknya kelemahan terbesar keselamatan sempadan.

    Tanggapan bahawa kru penerbangan dan individu berprofil tinggi secara automatik berada dalam kategori berisiko rendah telah mewujudkan budaya sambil lewa yang menebal.

    Pusat Pemprosesan Kru dan laluan khas ini kerap menjadi ruang selamat bagi amalan pakatan sulit serta penipuan sindiket kerana pengawasan fizikal mahupun liputan kamera litar tertutup (CCTV) yang minimum.

    Pegawai penguat kuasa sering kali enggan atau segan menahan kru dan rombongan berprofil tinggi atas dasar hormat atau andaian prasangka baik.

    Tanggapan psikologi inilah yang dihidu dan dieksploitasi secara teliti oleh sindiket antarabangsa untuk menukar kru penerbangan menjadi keldai dadah berprestij.

    Selain itu, fokus pihak berkuasa yang hanya tertumpu pada kaunter pelepasan utama merupakan satu kesilapan strategik.

    Hakikatnya, ekosistem perkhidmatan sokongan darat di kawasan apron dan dalaman terminal merupakan pintu belakang yang jauh lebih rentan kepada aktiviti penyeludupan.

    Penghantaran makanan oleh syarikat katering terus ke dalam kabin pesawat, sebagai contoh, memotong terus sistem saringan keselamatan terminal utama.

    Tanpa imbasan semula pada titik muatan akhir di apron, troli katering berpotensi besar menjadi kenderaan penyeludupan dadah dan barangan haram.

    Situasi ini memburuk dengan kehadiran petugas pembersihan yang mempunyai akses terus ke dalam kabin semasa pesawat berada dalam tempoh transit.

    Pertukaran barangan antara petugas pembersihan dan kru, atau tindakan menyembunyikan dadah dalam kompartmen rahsia pesawat, mudah berlaku tanpa kawalan rapi.

    Malah, petugas bagasi dalaman yang mempunyai akses fizikal ke atas beg yang telah diimbas turut membuka ruang kepada amalan menukar atau menyelitkan barang seludup di zon transit.

    MENARIK:  Ketua Pemuda PAS Selangor bodoh sombong, kata setiausaha MB

    Keadaan ini ditambah pula dengan laluan bagasi saiz luar biasa yang kerap dikendalikan secara manual dan berasingan daripada sistem imbasan automatik, menjadikannya sasaran utama penyeludupan barang pukal dan hidupan liar.

    Apa yang lebih menakutkan adalah di sebalik setiap penahanan yang dimaklumkan kepada umum, wujud sebuah ekosistem jenayah yang amat tersusun dan bergerak bebas di dalam negara.

    Rangkaian perekrut ini beroperasi tanpa gangguan signifikan, mengeksploitasi kerapuhan sosioekonomi tempatan untuk menukar rakyat yang terdesak menjadi benteng barisan hadapan atau 'transporter' dalam rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa.

    Siasatan mendalam di lapangan mendedahkan kewujudan peranantara yang bergerak secara licik di kawasan perniagaan awam, termasuk warga asing yang bekerja di premis makanan tempatan.

    Individu ini bertindak sebagai ejen perekrut berkaliber rendah tetapi berkesan, memburu sasaran khusus dalam kalangan masyarakat tempatan.

    Golongan yang berdepan kemelut kewangan kritikal, individu yang diburu ceti haram (Ah Long), hingga ke anak muda yang diumpan dengan tawaran percutian percuma ke luar negara menjadi mangsa utama.

    Dengan ganjaran tunai sekitar RM3,000 hingga RM5,000 bersama pakej tiket penerbangan dan penginapan hotel percuma, mangsa diarah terbang ke negara transit seperti Thailand untuk mengambil bekalan sebelum melintasi sempadan ke destinasi akhir seperti India.

    Bukti kukuh kelemahan kawalan sempadan ini terserlah menerusi fakta kes penahanan seorang warga Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhash Chandra Bose (NSCBI), Kolkata, India.

    Mengikut dokumen rayuan reman mahkamah, individu tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Bangkok menaiki penerbangan tempatan Malaysia pada 14 April 2025 dan tiba di Kolkata sebelum ditahan oleh pegawai Unit Inteligensi Udara (AIU) pada jam 9:00 pagi, 15 April 2025.

    Walaupun melepasi 'Laluan Hijau' (Green Channel) di dewan ketibaan antarabangsa, imbasan sinar-X ke atas bagasi miliknya membongkar penemuan tiga paket plastik bermeterai hampagas berganda dan satu paket tunggal berisi 1,205 gram (bersih) ganja atau marijuana.

    Penahanan tersebut, yang disusuli sitaan dua unit telefon bimbit dan pas berlepas, membawa kepada pendakwaan rasmi di Mahkamah Ketua Majistret Barasat bawah Akta NDPS 1985 India.

    Isu ini menjadi semakin parah apabila wujud kelemahan ketara dalam kawalan sempadan darat dan integriti penguatkuasaan tempatan.

    Warga Malaysia dalam kes ini kini berada di Malaysia walaupun masih menunggu perbicaraan di mahkamah India. Dia bertindak meloloskan diri kembali ke tanah air melalui laluan tikus di sempadan.

    Setelah berada di dalam negara, individu berkenaan menyembunyikan diri di kawasan pinggir bandar Kepong untuk membina semula rangkaian dan meneruskan aktiviti merekrut mangsa baru.

    Kegagalan mengecam dan menahan semula dalang yang membolosi sempadan ini mencerminkan jurang koordinasi yang amat serius antara agensi keselamatan tempatan dan antarabangsa.

    Pendedahan berterusan daripada pihak konsulat Malaysia di luar negara mengesahkan realiti pahit ini.

    Ramai warga tempatan, terutamanya wanita muda dan belia terdesak, kini menghabiskan usia di dalam penjara asing selepas terperanangkap dengan janji manis sindiket.

    Ironinya, tatkala keldai dadah ini menerima hukuman berat di bawah undang-undang ketat negara luar, dalang utama dan ejen perekrut di tanah air terus menikmati kebebasan dan meraih keuntungan jutaan ringgit daripada perniagaan haram ini.

    Kerajaan dan agensi penguatkuasaan tidak boleh lagi bertindak secara reaktif atau melepaskan batok di tangga dengan menuding jari kepada kelemahan teknikal pengimbas semata-mata.

    Kebocoran yang berlaku bukan sekadar isu kegagalan mesin, tetapi kegagalan sistemik dalam membanteras dalang dan menutup ruang gerak perekrut di peringkat tempatan.

    Reformasi menyeluruh mesti dilaksanakan serta-merta tanpa sebarang kompromi.

    Langkah ini merangkumi tindakan menghapuskan semua kelonggaran laluan khas kru penerbangan serta zon VIP, memperketat audit fizikal dan keselamatan ke atas syarikat pengendalian perkhidmatan sokongan di zon apron.

    Selagi ada laluan yang 'diberi kelonggaran' dan selagi ejen perekrut memburu rakyat yang terdesak tanpa sebarang sekatan, selagi itulah keselamatan sempadan dan reputasi Malaysia akan terus digadai di persada antarabangsa.


    B NANTHA KUMAR Wartawan senior Malaysiakini.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah