ULASAN | Antara persoalan lazim yang dibangkitkan ramai rakyat Malaysia di media sosial susulan dakwaan warga Israel menyertai Network School di Johor Bahru ialah bagaimana mereka boleh memasuki negara ini?
Terdapat juga komen bernada marah yang mendakwa pihak berkuasa gagal menjalankan tugas. Berdasarkan komen tersebut, dapat disimpulkan bahawa netizen terbabit tidak menyedari ramai warga Israel memiliki dwikewarganegaraan.
Tiada angka rasmi mengenai jumlah warga Israel yang memiliki dwikewarganegaraan atau pasport kedua, namun hakikatnya Israel membenarkan dwikewarganegaraan dalam pelbagai keadaan.
Kerajaan Tel Aviv mendakwa ia tidak menyimpan atau menerbitkan daftar menyeluruh mengenai kewarganegaraan lain yang dimiliki rakyatnya.

Namun, berdasarkan laporan, anggaran yang sering disebut menunjukkan kira-kira 10 peratus warga Israel memiliki kewarganegaraan lain, bersamaan kira-kira sejuta orang berdasarkan jumlah penduduk semasa negara itu. Bagaimanapun, angka tersebut sekadar anggaran yang dilaporkan dan bukannya statistik rasmi.
Network School, sebuah komuniti teknologi antarabangsa yang menggabungkan konsep kediaman bersama dan ruang kerja bersama di Forest City, Johor Bahru, menjadi perhatian media susulan dakwaan penyertaan warga Israel.
Pelabur Silicon Valley, Balaji Srinivasan (gambar bawah) mengasaskan dan mengendalikan “komuniti pemula niaga” itu untuk golongan nomad digital serta pembangun teknologi.
Susulan tindakan penguatkuasaan tersebut, Balaji dilaporkan berkata rancangan pembesaran bernilai RM500 juta di Malaysia kini ditangguhkan.

Dalam hantaran panjang di platform media sosial X, dia menyindir kumpulan aktivis Malaysia Protest 4 Palestine (MP4P), yang membangkitkan kehadiran pencipta kandungan Israel, Nusier Yassin, atau lebih dikenali sebagai Nas Daily.
Media melaporkan penulis blog video Israel-Palestin itu pada 2022 berkata dia berjaya memasuki Malaysia meskipun terdapat larangan, dengan masuk ke Johor Bahru melalui Singapura menggunakan pasport Saint Kitts dan Nevis.
BACA BERKAITAN:
Isu Network School: TMJ arah siasatan terperinci, tindakan tegas diambil
‘Beri jaminan atau kami tarik modal’: Pengasas komuniti di Forest City mahu jumpa PM lepas disiasat
Isu Network School: Usir segera warga Israel jika masuk Malaysia - PM
Dakwaan warga Israel di Forest City: Imigresen siasat ‘Network School’
Kajian akademik oleh Yossi Harpaz menganggarkan kira-kira 344,000 warga Israel memiliki kewarganegaraan negara Kesatuan Eropah berdasarkan data 2019, walaupun angka itu tidak merangkumi semua individu yang memiliki dwikewarganegaraan.
Kewarganegaraan kedua paling lazim secara umum dipercayai ialah kewarganegaraan Amerika Syarikat, yang sering dianggap sebagai kumpulan tunggal terbesar. Anggaran menunjukkan lebih 200,000 warga Israel-Amerika yang memiliki dwikewarganegaraan menetap di Israel.

Kita boleh mengandaikan angka itu tidak merangkumi orang Yahudi yang dilahirkan di Amerika Syarikat atau mereka yang nenek moyangnya berhijrah lebih awal ke negara tersebut.
Negara lain yang dilaporkan turut menjadi sumber kewarganegaraan kedua warga Israel termasuk Perancis, hasil penghijrahan selama beberapa dekad; Rusia, susulan gelombang besar penghijrahan dari bekas Kesatuan Soviet yang bermula pada 1990-an; serta United Kingdom menerusi penghijrahan dan keturunan.
Kewarganegaraan kedua lain yang lazim dimiliki termasuk Poland, Romania, Hungary, Portugal, Argentina, Afrika Selatan, Australia dan Ethiopia, bergantung pada asal-usul keluarga serta sejarah penghijrahan.
Laporan yang memetik kajian akademik dan tinjauan pendapat menyatakan terdapat lebih 200,000 warga Israel di Amerika Syarikat yang turut memiliki kewarganegaraan Amerika.
Tiada apa boleh halang
Laporan dalam talian yang memetik Middle East Eye pula menyatakan data ketenteraan Israel menunjukkan lebih 50,000 anggota tentera aktif memiliki pasport asing, terutamanya dari Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, United Kingdom dan Ukraine.
Ringkasnya, tiada apa-apa yang menghalang warga Israel yang memegang pasport asing tersebut daripada memasuki Malaysia.
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata seramai 256 warga asing dari 40 negara yang diperiksa berhubung Network School memiliki pas lawatan sosial manakala 10 lagi memegang pas lawatan ikhtisas dalam kategori nomad.
Dia berkata 10 pemegang pas nomad itu terdiri daripada empat warga Amerika Syarikat, tiga warga Rusia, dua warga Australia dan seorang warga India.
Zakaria berkata pihaknya masih belum menemui bukti mengenai kehadiran warga Israel di Network School namun akan meneruskan siasatan dan berkongsi hasil penemuan dengan agensi lain.
Bukan mudah untuk mengesan kehadiran warga Israel kerana tiada senarai rasmi yang boleh diakses orang ramai mengenai warga Israel yang turut memiliki pasport Amerika Syarikat. Bagi ramai tokoh awam pula, status kewarganegaraan mereka merupakan perkara peribadi.

Rakyat Malaysia, sama ada jemaah Islam atau Kristian, yang pernah mengunjungi Baitulmaqdis dengan kelulusan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen, pasti pernah bertemu ramai warga Israel yang bertutur dengan loghat Amerika dan mengakui memiliki pasport Amerika Syarikat.
Satu lagi pemandangan lazim di Baitulmaqdis ialah papan iklan yang dipasang dengan bangga oleh warga Israel itu menggunakan tulisan “JerUSAlem” bagi menonjolkan hubungan mereka dengan Amerika Syarikat.
Kontroversi ini sememangnya perlu ditangani dengan baik dan secara harmoni memandangkan Malaysia mengalu-alukan pelaburan serta bakat. Pada masa sama, negara ini tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penghinaan atau ancaman daripada mana-mana pihak.
Lebih penting, pendirian Malaysia terhadap Israel jelas dan diketahui umum, dan kita tidak perlu memohon maaf mengenainya.
WONG CHUN WAI merupakan pengerusi Bernama dan penerima anugerah Tokoh Wartawan Negara.
Artikel ini diterjemahkan daripada ulasan bahasa Inggeris terbitan Bernama berjudul Many Israelis’ Dual Citizenship Makes Entry Ban Harder to Enforce. Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.





