Institusi raja-raja Melayu bukan sekadar simbol adat dan budaya. Ia adalah tiang seri negara. Dalam sejarah politik Malaysia, sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah kepada sistem Raja Berperlembagaan hari ini, institusi diraja menjadi payung yang menaungi kestabilan, agama, adat dan maruah bangsa.
Sebab itu orang Melayu lama berpesan, “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.” Maknanya, penghormatan kepada institusi raja bukan lahir daripada paksaan, tetapi daripada akar sejarah dan kepercayaan rakyat yang telah terbina ratusan tahun.
Namun kebelakangan ini, sesuatu yang membimbangkan sedang berlaku. Sedikit demi sedikit, polemik melibatkan titah dan pandangan raja-raja Melayu mula diperdebatkan secara terbuka, malah dimanipulasi di media sosial oleh pelbagai pihak termasuk kelompok ekstrem dan warga asing yang tidak memahami sensitiviti sistem negara ini.
Keadaan ini menimbulkan persoalan besar: adakah kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim benar-benar berjaya mengawal naratif dan keharmonian negara?
Manipulasi kelirukan rakyat
Isu bermula apabila polemik berkaitan titah addendum bekas Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi bahan perdebatan terbuka. Apa yang sepatutnya diurus secara tertib dan penuh adab akhirnya bertukar menjadi polemik politik yang mengelirukan rakyat. Ada yang mempertikai, ada yang menafsir sesuka hati, malah ada yang menjadikan titah diraja seperti bahan debat politik murahan.
Dalam sistem Raja Berperlembagaan, ini bukan isu kecil. Pakar perlembagaan seperti AV Dicey (Doctrine of Parliamentary Sovereignty, 1885) pernah menegaskan bahawa kestabilan negara bergantung kepada penghormatan terhadap institusi tertinggi negara. Bila penghormatan mula retak, sistem keseluruhan boleh tergugat.
Kemudian muncul pula isu di Selangor apabila titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan penternakan babi diperdebatkan secara terbuka oleh ahli politik tertentu. Keadaan menjadi semakin serius apabila Majlis Raja-raja Selangor sendiri terpaksa tampil mempertahankan kedudukan sultan dalam sistem Raja Berperlembagaan.
Apabila institusi diraja sendiri perlu menjawab serangan politik secara terbuka, itu petanda ada sesuatu yang tidak kena dalam pengurusan negara. Bak kata pepatah Melayu, “api kecil jangan disangka tidak membakar.” Jika perkara seperti ini tidak dikawal sejak awal, ia boleh menjadi barah persepsi yang merosakkan keharmonian negara.
Terbaharu, kenyataan terbuka daripada Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkaitan hak negeri Pahang menambahkan lagi suhu politik negara. Teguran melibatkan isu hasil negeri dan campur tangan urusan negeri memberi isyarat bahawa wujud ketegangan tertentu antara kerajaan pusat dan institusi negeri.
persepsi lebih berbahaya daripada realiti
Dalam politik moden, persepsi kadang-kadang lebih berbahaya daripada realiti. Bila rakyat melihat satu demi satu polemik melibatkan raja-raja Melayu berlaku dalam tempoh singkat, maka lahirlah persepsi bahawa kerajaan hari ini gagal mengawal kelompok tertentu dalam gabungan mereka sendiri.
Lebih membimbangkan, ada pihak luar mula mengambil kesempatan memanipulasi isu ini dengan naratif songsang yang boleh menghakis rasa hormat terhadap institusi diraja.
Malaysia bukan republik. Malaysia dibina atas “kontrak sosial” dan sistem Raja Berperlembagaan yang unik. Perkara 32 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan sendiri memperuntukkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu sebagai institusi penting negara.
Sebab itu ahli sejarah seperti mendiang Khoo Kay Kim (pakar sejarawan) pernah mengingatkan bahawa institusi diraja adalah elemen kestabilan yang membezakan Malaysia daripada banyak negara lain yang bergolak selepas perubahan politik.
Kerajaan sepatutnya menjadi benteng utama mempertahankan kehormatan institusi diraja, bukannya membiarkan polemik berkembang tanpa kawalan. Dalam era media sosial, satu kenyataan yang salah boleh merebak lebih pantas daripada api dalam sekam. Lebih berbahaya apabila isu sensitif ini dimainkan oleh kelompok yang mahu melaga-lagakan rakyat dan institusi negara.
Namun dalam menegur kerajaan, rakyat juga perlu berhati-hati agar kritikan tidak melampaui batas sehingga menjejaskan keharmonian negara. Institusi diraja mesti dipelihara daripada dijadikan alat politik oleh mana-mana pihak. Raja-raja Melayu perlu kekal berada di atas gelanggang politik kepartian supaya maruah institusi terus dihormati semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.
Kemelut Permasalahan: Cari Jalan Penyelesaian
Jadi bagaimana masalah ini boleh diselesaikan secara profesional?
Pertama, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme komunikasi yang lebih tersusun antara kerajaan pusat, kerajaan negeri dan institusi diraja. Banyak polemik berlaku kerana kegagalan menyelaras maklumat dan tindakan. Dalam hal melibatkan titah dan kenyataan diraja, penjelasan mesti dibuat secara pantas, tepat dan penuh adab.
Kedua, pemimpin politik perlu menghentikan budaya “menangguk di air keruh”. Jangan menjadikan institusi diraja sebagai modal menyerang lawan politik. Dalam jangka pendek mungkin ada keuntungan politik, tetapi dalam jangka panjang ia merosakkan sistem negara sendiri. Seperti kata bidalan, “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.”
Ketiga, penguatkuasaan undang-undang berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja perlu dilaksanakan secara adil tanpa pilih kasih. Tidak boleh ada kelompok yang dilihat “kebal” hanya kerana dekat dengan kuasa. Keadilan yang tidak seimbang hanya akan menambahkan kemarahan rakyat.
Keempat, pendidikan kenegaraan dan Perlembagaan perlu diperkukuh terutama dalam kalangan generasi muda dan warga asing yang tinggal di Malaysia. Ramai memahami demokrasi Barat, tetapi gagal memahami keunikan sistem Raja Berperlembagaan Malaysia.
Kuasa politik: Berubah mengikut mandat
Akhirnya, Anwar perlu sedar bahawa kestabilan negara bukan hanya bergantung kepada angka di Parlimen atau kekuatan propaganda politik. Kestabilan sebenar lahir daripada rasa hormat rakyat terhadap institusi negara, termasuk raja-raja Melayu.
Kuasa politik boleh berubah setiap lima tahun. Tetapi institusi diraja telah bertahan ratusan tahun merentasi penjajahan, peranang dan krisis politik. Kerajaan yang gagal memahami hakikat ini ibarat “bermain api dalam sekam” – sedemikian jangan dibiarkan “anak kucing bermain-main dengan ekor singa” memang buruklah padahnya.
Dan apabila api kemarahan rakyat mula menyala, mereka tidak lagi bersuara. Tetapi api di dalam jiwa mereka meronta-ronta minta dilepaskan – apabila tiba hari pengundian.
RAMLEE WAHAB adalah bekas pemimpin akar umbi Bersatu Johor serta penulis yang memenangi pelbagai anugerah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





