ULASAN | Setiausaha Agung DAP Anthony Loke tewas di Chennah. Pengumuman itu membawa makna besar kerana sepanjang 22 tahun, dia tidak pernah kalah dalam pilihan raya.
Sejak 2004, Loke membina antara rekod pilihan raya paling konsisten dalam politik Malaysia.
Dia menang di Lobak, berpindah ke Chennah, menjadi ahli Parlimen Seremban, mendaki tangga kepimpinan DAP dan akhirnya muncul sebagai antara menteri paling menonjol — malah boleh dikatakan paling berjaya — dalam kerajaan persekutuan.
Keputusan itu bukan sesuatu yang langsung tidak dijangka. Loke sendiri menyifatkan Chennah sebagai pertandingan 50-50 dan tanda-tanda amaran sudah kelihatan sebelum hari pengundian.

Walaupun begitu, kekalahan itu membawa kesan politik yang besar. Ia bukan sekadar kehilangan sebuah kerusi DUN, tetapi berakhirnya rekod 22 tahun tanpa kalah milik seorang daripada pemimpin terpenting DAP.
Semua mata kini tertumpu kepada Loke dan DAP. Berucap selepas pengumuman hasil pengundian, Loke menerima keputusan itu dan memikul tanggungjawab tanpa segera mencari alasan.
Apa yang penting sekarang ialah sama ada dia dan DAP bersedia menilai dengan jujur punca kekalahan di Chennah.
Situasi tegang
Suasana di lapangan tegang sepanjang kempen. Persaingan itu semakin dilihat bukan lagi berkisar pada isu tempatan, tetapi usaha menjatuhkan setiausaha agung DAP.
Pemimpin BN tidak cuba menyembunyikan perkara itu. Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka menyeru pengundi supaya “bungkus” Loke.
Serangan itu luar biasa kerana Zahid dan Loke merupakan rakan dalam kerajaan persekutuan yang sama. Mereka duduk bersama dalam kabinet, tetapi di Chennah, Zahid meminta pengundi menjatuhkan Loke.

Serangan terhadap Loke semakin bersifat peribadi dan berbaur perkauman.
Dakwaan disebarkan kononnya dia mahu menjadi menteri besar, kuasa politik Melayu akan menjadi lemah jika dia menang dan dia mencampuri “adat” serta institusi diraja Negeri Sembilan.
BACA: Loke selar tuduhan campur tangan adat, dakwa Umno punca krisis politik
Kerusi rapuh
Chennah sememangnya lebih rapuh untuk DAP daripada yang digambarkan menerusi keputusan pilihan raya kebelakangan ini.
Loke menyandang kerusi itu sejak 2013, tetapi Chennah kekal sebagai kawasan campuran yang memerlukan sokongan merentasi kampung Melayu, kampung baru Cina dan komuniti lebih kecil.
Kali ini, gabungan sokongan yang membolehkan Loke bertahan di Chennah selama tiga penggal gagal dihimpunkan.
Menurut ElectionData.MY, pengundi Melayu membentuk 47.8 peratus daripada keseluruhan pengundi, diikuti pengundi Cina sebanyak 42.6 peratus. Pengundi Orang Asli pula merangkumi 6.3 peratus. Chennah bukan kerusi yang boleh dianggap selamat oleh DAP.

Kadar keluar mengundi di Chennah mencecah kira-kira 84 peratus pada 2013 dan 82.9 peratus pada 2018, sebelum merosot kepada sekitar 66 peratus pada 2023.
Ketika artikel ini ditulis, kadar keluar mengundi di seluruh negeri mencecah 65.38 peratus setakat jam 4 petang, manakala angka akhir masih belum diumumkan.
[Seramai 646,084 pengundi, bersamaan 72.64 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar keluar mengundi pada PRN semalam]
Namun, kadar keluar mengundi sahaja tidak dapat menjelaskan kekalahan Loke, khususnya apabila majoritinya begitu tipis. Sebaliknya, ia menimbulkan persoalan yang lebih sukar.

Adakah dia tewas kerana lebih ramai pengundi secara aktif menolaknya, atau kerana tidak cukup penyokong terdahulunya berasa terdorong untuk keluar mengundi?
Dalam persaingan sengit, perbezaan itu penting.
Kekalahan perlu dikaji
Keputusan keseluruhan jelas sukar diterima Pakatan Harapan yang turut dianggotai DAP.
Namun, Chennah wajar dianalisis mengikut keadaan tersendiri kerana Loke bukan calon biasa.
Dia membawa reputasi sendiri, rekodnya dalam kerajaan dan kedudukan sebagai setiausaha agung DAP.
Kekalahannya dibentuk suasana politik lebih luas, tetapi tidak boleh dijelaskan melalui suasana itu semata-mata.
“Kerjasama” BN-Perikatan Nasional, kelemahan menggerakkan sebahagian penyokong Loke, ketidakpuasan hati tempatan, pengurusan kempen serta serangan membabitkan kaum, adat dan institusi diraja mungkin semuanya memainkan perananan.
BACA: Istana NS tegaskan berkecuali dalam p'raya negeri

Apabila majoritinya begitu tipis, tiada satu faktor pun perlu menjadi penentu secara bersendirian. Beberapa perubahan kecil sudah memadai untuk menentukan keputusan.
Selama bertahun-tahun, Chennah menjadi bukti jangkauan politik Loke. Ia menunjukkan seorang pemimpin kanan DAP mampu mempertahankan kerusi campuran dan separa luar bandar bukan sekali, tetapi tiga kali.
Imejnya sebagai ahli politik sederhana, praktikal dan rajin memainkan perananan. Begitu juga keupayaannya meraih sokongan di luar pangkalan tradisi DAP.
Sebab itulah kekalahan ini penting. Ia tidak bermakna sokongan terhadap Loke lenyap atau pendekatan politiknya gagal.

Namun, ia menunjukkan gabungan sokongan yang dibinanya di Chennah menjadi jauh lebih rapuh berbanding sebelumnya.
Sebaik keputusan diumumkan, hampir seluruh perhatian tertumpu kepada Loke. Perkara itu tidak dapat dielakkan memandangkan dia pemimpin tertinggi DAP dan seorang menteri kanan.
Pun begitu, keputusan Chennah tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai kegagalan peribadi Loke. Persoalan lebih besar ialah perkara yang gagal dilihat DAP dan PH.
Kekalahan pertamanya mungkin memberitahu kita lebih banyak mengenai perubahan landskap politik Malaysia berbanding sekian banyak kemenangannya sebelum ini.
KHOO YING HOOI ialah ahli akademik di Universiti Malaya.
Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini. Ia terjemahan artikel asal berjudul “COMMENT | What Loke's first defeat in 22 years tells us?”





