Staf Am Angkatan Bersenjata Ukraine pada Sabtu mengesahkan bahawa pasukan Ukraine telah berundur dari Sudzha, sebuah bandar penting di Wilayah Kursk, barat Rusia, lapor Xinhua.
Menurut peta yang diterbitkan oleh Staf Am di Facebook, tentera Ukraine telah berpindah ke lokasi lebih dekat dengan sempadan Ukraine-Rusia di Wilayah Kursk.
Dalam tempoh 24 jam lepas, tentera Ukraine menghadapi 19 serangan udara Rusia dan terlibat dalam 20 pertempuran di arah Kursk, menurut kenyataan Staf Am.
Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pada Khamis berkata bahawa operasi ketenteraan Rusia untuk merampas semula wilayah Kursk telah memasuki peringkat akhir.
Pada hari yang sama, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan bahawa pasukan Rusia telah menguasai penempatan Melovoi, Podol dan Sudzha menerusi operasi serangan mereka.
Sudzha berada di bawah kawalan Ukraine sejak Ogos 2024, selepas Ukraine melancarkan operasi ketenteraan mengejut merentasi sempadan di wilayah itu.





