Seorang penduduk Orang Asli dari Kampung Sungai Cot dengan hormatnya menolak pelawaan penempatan semula sementara Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Dalam video yang disiarkan di TikTok, Julaiana Jazlin Ismail, 34, menjelaskan bahawa dia mesti mempertahankan hak tanah adat komunitinya, sambil menambah bahawa dia ingin bertemu dengan Tunku Azizah untuk memberikan cenderahati kraf tangan yang dibuatnya sendiri.
Julaiana berkata dia akan bertemu dengan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail tidak lama lagi mengenai isu pertikaian tanah yang sedang berlaku.
"Saya nak tanah adat saya saja, dekat Kampung Cot, dengan Orang Asli yang ada dekat Malaysia, saya nak tu je," katanya.
Awal hari ini, Tunku Azizah membuat tawaran kepada keluarga Orang Asli dari Kampung Sungai Cot untuk berpindah ke tanah baginda di Kuala Wau, Maran.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Zahari Yahya, berkata Tunku Azizah juga telah memberi jaminan bahawa kebajikan mereka akan dilindungi dan mereka tidak akan dipinggirkan.
Baginda bertitah bahawa tawaran itu juga diberikan kepada mana-mana keluarga Orang Asli yang memerlukan tempat tinggal atau penempatan baru, tertakluk kepada perkenan diraja baginda dan undang-undang sedia ada.
Dalam respons berasingan, sebuah NGO alam sekitar berkata bahawa tawaran penempatan semula sementara itu tidak tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian dengan isu pertikaian tanah.
Dalam satu kenyataan untuk Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh menyampaikan rasa hormat terhadap Tunku Azizah dan niat baginda, tetapi membangkitkan berberapa isu.
"Keprihatinan pihak istana tidak dipersoalkan. Tetapi belas kasihan yang diterjemahkan kepada penempatan semula, dan bukannya pengiktirafan, berisiko memberi akibat sama dari penggusuran jentolak: menyingkirkan Orang Asli dari tanah yang menjadi milik mereka mengikut undang-undang, mengikut sejarah, dan mengikut hak.
"Orang Asli Kampung Sungai Cot tidak meminta tempat tinggal baru. Mereka meminta untuk mengekalkan tanah yang mereka miliki," kata mereka hari ini.
Rajesh dan Sachpreetraj merujuk kepada peruntukan undang-undang dan keputusan mahkamah yang mengesahkan hak Orang Asli di tanah adat dan nenek moyang mereka.
"Kegagalan berterusan kerajaan negeri - termasuk kerajaan negeri Pahang - untuk melaksanakan kuasa ini adalah punca utama setiap pertikaian seperti ini, dari Kampung Sungai Baru ke Kampung Kelaik ke Rompin dan kini Kampung Sungai Cot," tegas mereka.
Mereka menekankan bahawa tawaran penempatan semula hanya menegaskan lagi kegagalan ini dengan menukar komuniti pemegang hak kepada penyewa mengikut kehendak, yang seterusnya memberi isyarat kepada pemaju bahawa penyelesaian kepada pertikaian tanah dengan Orang Asli adalah dengan memindahkan mereka.
Sebaliknya, mereka menyeru Majlis Diraja Pahang untuk "meminjamkan kuasa moral Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Tengku Ampuan Pahang untuk tujuan pewartaan dan pengiktirafan undang-undang tanah sedia ada komuniti itu, yang akan menjadi legasi yang jauh lebih berkekalan daripada sebarang penempatan semula".
Mereka juga menggesa kerajaan Pahang untuk menghentikan sebarang perobohan atau pengusiran di Kampung Sungai Cot sehingga isu tuntutan adat komuniti itu diselesaikan melalui pewartaan di bawah Seksyen 6 dan 7 Akta Orang Asli 1954.
Bagi Putrajaya pula, mereka berkata ia mesti melaksanakan pembaharuan yang mempertingkatkan hak tanah adat.
Pada 17 Julai, penduduk Kampung Sungai Cot, termasuk Julaiana dan anak wanitanya yang berusia tujuh tahun, tiba di kediaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kajang selepas dua hari berjalan kaki.
Menurut New Straits Times, penduduk kampung disertai oleh NGO dalam menyeru campur tangan kerajaan persekutuan dalam pertikaian tanah yang telah berlarutan sejak 2015, apabila penduduk kampung mendakwa bahawa kerajaan Pahang menjual tanah pusaka mereka kepada pemaju.
Rajesh mendakwa bahawa beberapa rumah di kampung itu telah dirobohkan di tengah-tengah aktiviti pembersihan tanah dan pembalakan.
Menurutnya, keluarga yang terjejas tidak diberikan tempat perlindungan sementara selepas kemusnahan rumah mereka, dakwanya.





