GLOBAL | Rumah Putih mengeluarkan memorandum pakar perubatan pada Jumaat yang menyatakan bahawa Presiden Donald Trump berada dalam "kesihatan yang sangat baik" susulan pemeriksaan fizikal tahunannya di Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed pada 26 Mei lalu, lapor Anadolu Ajansi.
Memo itu – yang ditandatangani doktor Trump Sean Barbabella – mendakwa umur jantung presiden terbabit kira-kira 14 tahun lebih muda daripada usia kronologinya iaitu 79.
Penilaian itu dibuat berdasarkan analisis elektrokardiogram yang dipertingkatkan dengan kecerdasan buatan.
Menurut memo itu, Trump memperoleh markah sempurna 30 per 30 pada Penilaian Kognitif Montreal iaitu alat pemeriksaan standard untuk kecacatan kognitif, dan pemeriksaan neurologinya tidak menunjukkan kelainan.
Dalam penemuan yang menarik perhatian, memo itu mengaitkan lebam yang dilihat pada tangan Trump sebagai kerana "kerap berjabat tangan" sekali gus menggambarkan ia sebagai "kesan biasa dan tidak berbahaya terapi aspirin."
Menurut memo berkenaan, berat Trump ialah 238 paun (kira-kira 108kg) dan menyatakan dia mengambil dua ubat pengawalan kolesterol bersama aspirin untuk pencegahan penyakit jantung.
"Presiden Trump kekal dalam kesihatan yang sangat baik," kata memo itu yang turut mengisytiharkan dia "cergas sepenuhnya untuk menjalankan semua tugas ketua komander dan ketua negara."





