Kejadian mendapan dilihat berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur yang terjadi beberapa hari lalu.
Kejadian tanah mendap itu dipercayai berlaku sekitar jam 2.30 pagi tadi selepas hujan lebat dan ribut pada malam tadi.
Bagaimanapun, tinjauan di lokasi mendapati kawasan itu ditutup sepenuhnya oleh pasukan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang awam juga tidak dibenarkan berada di lokasi berkenaan.
Kejadian lubang benam pada Jumaat lepas menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang apabila dia terjatuh sedalam lapan meter di situ.

Operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Suliezmy Affendy Sulaiman ketika ditemui pemberita mengesahkan berlaku kejadian mendapan tanah di Jalan Masjid India.
Katanya perbincangan sedang dilakukan untuk memperluaskan penutupan jalan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian.





