Tanggal 10 Oktober 2026 semakin hampir dan perhatian ramai kini tertumpu kepada hari penyatuan penyanyi Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Namun di sebalik persiapan busana, senarai tetamu dan kemeriahan yang bakal berlangsung, pasangan itu sebenarnya sudah mula memikirkan sesuatu yang jauh lebih panjang daripada satu hari perkahwinan.
Bagaimana dua kehidupan yang berbeza mahu disatukan selepas lafaz akad?
Bagi Bella dan Syed Saddiq, perkahwinan ini bukan hanya menyatukan dua individu, tetapi turut membawa bersama kerjaya yang sibuk, Ayden dan Ara serta tanggungjawab sedia ada yang perlu terus berjalan.
ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq Jadi ‘Pengawal Kewangan’, Tak Mahu Bajet Kahwin Dengan Bella Berlebihan
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Baru Hendak Tulis Muka Surat Pertama’ – Syed Saddiq & Bella Astillah Akui Tak Layak Disamakan Dengan Tun M & Allahyarhamah Tun Hasmah
Cinta Sahaja Tak Cukup, Kompromi Jadi Bekalan
Antara nasihat yang paling dekat dengan pasangan itu datang daripada Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali yang sempat mereka temui beberapa hari sebelum pemergiannya.
Menurut Syed Saddiq, pertemuan selama lebih dua jam itu banyak menyentuh realiti kehidupan berumah tangga.

“Kahwin itu bukan sekadar soal cinta semata-mata, tetapi toleransi dan kompromi yang perlu kita bijak lalui. Bagaimana kita nak lalui ujian dan bagaimana kita nak tangani isu cemburu dalam hubungan.”
Baginya, dua perkara paling besar yang ditinggalkan daripada pertemuan itu ialah kepentingan pendidikan serta kebijaksanaan untuk berkompromi dalam rumah tangga.
View this post on Instagram
Bella pula masih mengingati antara pesanan yang diberikan kepadanya sebagai bakal isteri.
“Dia cakap Bella kena kuat, kena sentiasa berada di sisi suami, jadi wanita yang lembut tapi kuat.”
Menurut Bella, kepercayaan juga menjadi perkara penting apabila memasuki kehidupan berumah tangga.
“Perjalanan itu pasti tidak mudah, tapi selagi mana kita ada kepercayaan dalam hubungan, trust, insya-Allah akan berkekalan. Kena ada toleransi dan saling menghormati.”
Lepas Kahwin, Kerja Tetap Berjalan
Realitinya, kedua-duanya tidak masuk ke alam perkahwinan dengan jadual kosong.
Bella masih mempunyai komitmen penggambaran, rakaman dan persembahan, manakala Syed Saddiq pula bakal kembali kepada tugasnya sebagai Ahli Parlimen.
Malah persiapan menjelang pernikahan sendiri berlaku di tengah-tengah jadual kerja yang padat.

“Saya rasa tak pernah saya multitask sebanyak ini dalam tempoh masa yang padat.”
Syed Saddiq berkata dia tidak mahu tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat terjejas hanya kerana sedang membuat persiapan perkahwinan, manakala Bella pula masih meneruskan beberapa komitmen seninya.
Sebab itu rancangan bulan madu juga mungkin tidak berlaku sejurus selepas mereka bernikah.
“Orang lain kalau kahwin terus pergi honeymoon, kita tak adalah. Saya dah maklumkan kepada bakal isteri dan dia sangat memahami.”
Dia berseloroh mungkin mereka akan “honeymoon di Parlimen”, sebelum menjelaskan percutian tersebut akan ditangguhkan sehingga tanggungjawab kerja mengizinkan.
Bukan Dua Orang, Tetapi Sebuah Keluarga Baharu
Perkahwinan itu juga membawa Syed Saddiq kepada peranan baharu bersama Ayden dan Ara.
Dia melihat tanggungjawab tersebut sebagai satu amanah, tetapi dalam masa sama mahu menghormati kedudukan Bella sebagai ibu yang selama ini membesarkan kedua-dua anaknya.
“Saya ini hanya sekadar pelengkap. Saya akan buat yang terbaik dan ini adalah satu amanah. Pada akhirnya dia adalah ibu mereka dan saya perlu menghormati itu, sambil melaksanakan amanah saya sebagai seorang bapa, insya-Allah.”
Ayden dan Ara pula, menurut Bella, sudah tidak sabar menunggu hari tersebut.

“Ayden dengan Ara happy sangat-sangat. Mereka asyik tanya bila. Saya cakap, mummy kan dah kongsi tarikh.”
Selepas berkahwin nanti, cabarannya bukan lagi sekadar mencari masa untuk suami dan isteri.
Syed Saddiq mengakui mereka juga perlu duduk berbincang mengenai pembahagian masa supaya Ayden dan Ara terus mendapat perhatian dan kasih sayang yang diperlukan.
“Kita tak boleh tinggalkan mereka. Ini keluarga baharu. Sedikit sebanyak kita akan belajar.”
Majlis Sehari, Kewangan Selepas Itu Lebih Panjang
Di tengah-tengah perhatian besar terhadap majlis mereka, Syed Saddiq turut berkongsi satu prinsip yang mahu dibawa dalam persiapan perkahwinan iaitu tidak berbelanja di luar kemampuan.
Baginya, kemeriahan sehari tidak seharusnya meninggalkan beban bertahun-tahun.
“Jangan kita menggadaikan segala simpanan hanya untuk kemewahan sehari tetapi akhirnya menanggung hutang dan beban berdekad-dekad yang akan datang.”
Dia juga tidak mahu skala majlis mereka menghantar mesej bahawa semua pasangan perlu melakukan perkara sama.

Sebaliknya, Syed Saddiq menganggap setiap pasangan mempunyai “wedding of the year” mereka sendiri tanpa mengira sebesar mana majlis tersebut.
Dalam persiapan bersama Bella, dia mengakui soal kompromi kewangan tetap menjadi sebahagian daripada perbincangan.
“Saya mahu Bella dapat wedding of her dreams, cuma kita masih perlu mengimbangkan faktor kewangan yang bagi saya sangat penting.”
‘Buka Chapter Baharu’
Buat Bella, kembali melangkah ke alam perkahwinan membawa perasaan yang berbeza.
Dia melihatnya sebagai peluang untuk membuka satu lembaran baharu dalam hidup.
“Sangat lain sebab kita nak buka chapter yang baharu. Saya bersyukur sangat kepada semua yang sentiasa mendoakan dan kepada Allah kerana memberikan saya peluang lagi sekali. Semoga perjalanan ini akan diberkati, insya-Allah.”
Mungkin di situlah makna sebenar “hitung hari” buat Bella dan Syed Saddiq.
Mereka memang sedang menghitung hari menuju 10 Oktober, tetapi pada masa sama sedang belajar tentang kompromi, kewangan, kerjaya, anak-anak dan bagaimana dua kehidupan mahu bergerak sebagai satu keluarga.
Kerana selepas tetamu pulang dan kemeriahan majlis selesai, kehidupan sebenar sebagai suami isteri baru sahaja bermula.

Perjalanan tersebut turut dirakam menerusi siri lapan episod Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq di Astro bermula 6 Oktober, daripada persiapan menuju pernikahan sehingga fasa kehidupan mereka selepas bergelar suami isteri bersama Ayden dan Ara.
Majlis pernikahan pasangan itu pada 10 Oktober, jam 9 pagi pula akan disiarkan secara langsung menerusi beberapa platform Astro.
The post Menjelang 10 Oktober, Bella Astillah & Syed Saddiq Bicara Tentang Hidup Selepas Lafaz Akad first appeared on OHBULAN!.





