Seseorang tidak perlu menjadi pakar teknologi maklumat (IT) untuk tahu bahawa hantaran media sosial Radio Televisyen Malaysia (RTM) - yang kini berdepan kontroversi - diterjemahkan secara automatik, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
“Jika sesebuah akaun membenarkan tetapan Facebook mereka untuk terjemahan secara automatik, maka ia akan diterjemahkan secara automatik.
“Dan terjemahan itu tidak dilakukan oleh (Menteri Komunikasi) Fahmi Fadzil atau Anwar Ibrahim mahupun kerajaan Malaysia.
“Terjemahan itu dilakukan oleh Meta atau berkemungkinan teknologi AI (kecerdasan buatan). Ia tiada kena mengena dengan RTM,” kanya pada pelancaran Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan Nasional di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum itu Fahmi menyelar segelintir pihak yang menyalahkan dan memfitnah RTM berhubung terjemahan secara automatik pada hantaran yang dibuat badan penyiaran itu di Facebook.
Semalam Fahmi berkata, ada pihak menuduh RTM menyiarkan kenyataan menyinggung dalam bahasa Inggeris berkaitan pertabalan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai lalu.
Dalam hantaran asal, RTM menggunakan perkataan menjunjung kasih namun ia diterjemah secara automatik kepada condolences (takziah) oleh fungsi terjemahan automatik di Facebook.
RTM sebagai penyiar rasmi secara meluas melaporkan mengenai upacara pertabalan itu secara langsung dari Istana Negara dan di platform media sosial mereka, termasuk di Facebook.
Badan penyiaran milik kerajaan itu kemudian menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah memuat naik sebarang maklumat rasmi dalam bahasa Inggeris berhubung istiadat pertabalan Sultan Ibrahim seperti yang ditularkan.
“Terjemahan bahasa Inggeris daripada sistem Facebook adalah salah. RTM tidak memuat naik sebarang ucapan takziah sempena majlis Istiadat Pertabalan ke-17 Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan.
RTM turut memaklumkan mereka telah membuat laporan polis berkenaan hal tersebut, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menghubungi Facebook berhubung kesilapan terjemahan berkenaan.
Sim juga menggesa orang awam agar sentiasa berwaspada dan memastikan mereka mengikuti perkembangan terbaru teknologi AI atau berisiko ketinggalan.
“Jika kita tidak mengikuti perkembangan semasa, dunia ini akan jadi pelik dan ia akan berubah menjadi asing setiap hari,” katanya.





