Kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak Selasa lepas, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, ditemui selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai, Kuala Lumpur pada jam 2.28 pagi tadi.
Ibunya Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.
Kata wanita itu, Siti Dhia Batrisyia ditemui anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan dimaklumkan kepadanya oleh Unit Rondaan Kawasan Rukun Tetangga Sri Rampai.
“Siti Dhia Batrisyia diserahkan kepada saya dan ketika ini kami berada di Hospital Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas anak saya,” katanya.
Terdahulu dia turut berkongsi berita melegakan itu dalam kemas kini terbaharu di Facebook kira-kira 6.45 pagi.
“Allahuakbar… Allah Maha Besar. Dengan segala doa serta pertolongan daripada semua orang, anak saya Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar telah dijumpai dengan selamat.
"Kami jumpa dia berjalan berseorangan pada jam 2.28 pagi,” katanya.
Syarifah Rosfazila turut menyatakan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan polis Dang Wangi atas usaha mengesan anaknya itu.
Bernama sebelum ini melaporkan ibu kepada Siti Dhia Batrisyia itu percaya anak perempuannya keluar dari rumah di Pudu di sini disebabkan oleh perselisihan faham.





