25.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 25, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Sindiket ‘counter-setting’ kini merentasi dari Johor ke KLIA

    Shopee Sale

    EKSKLUSIF | Beberapa hari lalu di Dewan Rakyat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan bahawa sukar untuk membuktikan sama ada sindiket counter-setting masih aktif beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau tidak.

    Namun, semakan Malaysiakini menceritakan realiti di sebaliknya.

    Dalam jawapan bertulis KDN kepada Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, semalam Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) komited untuk memerangi rasuah dan memperkukuh kawalan sempadan.

    Bagaimanapun, KDN mengaku wujud kesukaran untuk mengumpul bukti bagi membuktikan sindiket berkenaan masih beroperasi secara aktif di KLIA.

    KDN turut menyenaraikan beberapa langkah kawalan ketat yang sedang dilaksanakan, termasuk pusingan kerja pegawai secara berkala, pemeriksaan mengejut, penggunaan kamera badan, pemantauan CCTV berteknologi kecerdasan buatan, serta peluasan pintu automatik bagi mengurangkan campur tangan manusia.

    Meskipun KDN mempertahankan keberkesanan langkah-langkah berkenaan, data tangkapan di lapangan mendedahkan sindiket terbabit masih aktif membawa masuk warga asing melalui pintu sempadan darat di Johor sebelum mengatur keberangkatan mereka keluar menerusi KLIA.

    Berdasarkan laporan polis bertarikh 15 dan 17 Julai lalu yang disahkan oleh pihak berkuasa, sekurang-kurangnya empat warga asing dari China, Pakistan dan India ditahan di KLIA kerana memegang dokumen perjalanan dengan cop masuk meragukan dari pintu sempadan di Johor.

    Satu laporan polis di Terminal 1 KLIA pada 15 Julai mendedahkan seorang wanita China dikesan mempunyai cop masuk fizikal dalam pasportnya, namun semakan sistem MyImms menunjukkan rekod kemasukan tidak teratur melalui Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.

    Tidak sampai sejam kemudian, di Terminal 2 KLIA, seorang pegawai mendapati seorang lelaki warga India yang dijadual berlepas ke Kolkata telah tinggal lebih masa melebihi pas lawatan sosial 30 hari yang dikeluarkan pada 22 Nov tahun lalu.

    Subjek ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihantar ke Depoh Imigresen KLIA2.

    Tangkapan seterusnya berlaku pada jam 5.30 petang di Terminal 1 KLIA apabila seorang lelaki warga Pakistan ditahan bersama pas sosial 30 hari dari BSI Johor yang dipercayai diperoleh secara tidak sah.

    Pada jam 9.30 malam di Terminal 2 pula, seorang pegawai imigresen menerusi laporan polis mengesahkan menahan seorang wanita warga India yang mahu berlepas ke Singapura.

    Hasil pemeriksaan mendapati subjek memegang endorsemen pas lawatan sosial BSI Johor bertarikh 5 Julai yang diperoleh secara tidak teratur.

    MENARIK:  ULASAN | Mengapa ada Melayu bimbang Yeoh jadi menteri Wilayah?

    Pada 17 Julai, dua laporan polis dibuat ke atas tiga warga India yang cuba berlepas dari Malaysia dengan dokumen yang tidak teratur.

    Taktik 'cop ori' tumpulkan siasatan

    Semua enam laporan polis dibuat dalam dua hari itu menunjukkan warga asing terbabit memperolehi cop flying dari BSI, Johor.

    Semakan Malaysiakini juga mendapati setakat laporan ini ditulis tiada sebarang tangkapan dibuat ke atas mana-mana pegawai di BSI Johor.

    Untuk rekod, setiap cop imigresen mempunyai nombor siri dan ia membolehkan pegawai yang menggunakannya dikenal pasti.

    Sementara itu, sumber dalaman Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya memberitahu ada tangkapan hampir setiap minggu membabitkan cop flying dari Johor.

    Bagaimanapun, katanya, individu terbabit tidak akan dituduh di mahkamah kerana cop tersebut adalah tulen.

    "Jadi dalam worst case scenario, dia hanya direman 14 hari sahaja untuk siasatan," katanya.

    Sementara itu sumber lain dari Johor memberitahu pegawai JIM di negeri itu tidak bimbang sekiranya warga asing terbabit ditahan di KLIA kerana pihak pembekal cop rasmi di peringkat negeri tidak dipantau secara agresif atau ditangkap.

    Sumber itu turut mendedahkan keberkesanan teknologi kawalan keselamatan di KLIA masih boleh ditembusi sekiranya laluan pelepasan diselaraskan terlebih dahulu bersama ejen.

    "Sekiranya mereka berjaya masuk kaunter pelepasan tertentu yang sememangnya telah ditetapkan, memang tidak akan ada sesiapa yang tahu atau sedar," katanya.

    "Kebanyakan tangkapan yang berlaku di KLIA sebenarnya bukan hasil kecekapan automatik sistem pemantauan sedia ada sebaliknya disebabkan kesilapan teknikal seperti penumpang tersalah masuk kaunter biasa yang tidak diaturkan, ditipu oleh ejen yang gagal menyediakan laluan selamat, atau dikesan pada saat-saat akhir di pintu pelepasan oleh pasukan petugas khas syarikat penerbangan,” katanya.

    Ketua Polis Daerah IPD KLIA M Ravi ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan berkenaan tangkapan warga asing terbabit pada 15 dan 17 Julai lalu.

    "Saya sahkan kami terima laporan polis tersebut," katanya.

    Tambahnya AKPS sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes-kes berkenaan bagi mengenalpasti pembabitan elemen jenayah rentas sempadan serta isu salah guna kuasa.

    Malaysiakini telah menghubungi AKPS serta KDN untuk mendapatkan komen berhubung pendedahan dokumen berkenaan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah