MUKTAMAR PAS | PAS perlu memberi tumpuan kepada isu yang dekat dengan kehidupan anak muda bagi memastikan parti itu terus mendapat sokongan rentas generasi, terutama ketika sokongan golongan terbabit tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang terjamin.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata anak muda hari ini tidak semestinya menerima sesebuah parti hanya berdasarkan identiti atau jenamanya saja.
Kata Tuan Ibrahim, ikatan politik yang diwarisi daripada ibu bapa atau keluarga juga tidak lagi menjamin kecenderungan politik generasi muda.
“Dulu kalau ayahnya Umno, mesti biasa anaknya Umno juga. Tapi sekarang tidak, ayahnya Umno tapi anaknya (mungkin sokong) PAS. Begitu juga sebaliknya.
“Ikatan anak-anak muda kepada parti yang diwarisi oleh bapa, oleh keluarga, tidak lagi mengikat mereka menjadi pengikut pada parti tersebut,” katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu hari ini.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menggesa anggota PAS mendapatkan sokongan golongan muda dengan menjelaskan tawaran parti serta bagaimana kepimpinan gerakan tersebut mampu memperbaiki kualiti hidup mereka.
“Mereka mahu tahu apa yang ditawarkan dan bagaimana tawaran itu memperbaiki kehidupan mereka.
“Apakah penyelesaian kepada masalah pekerjaan mereka? Bagaimana saya (anak muda) nak memiliki rumah? Mengapa kos sara hidup terus meningkat? Apakah masa depan pendidikan dan kerjaya saya? Ini cabaran-cabaran yang ada depan kita,” katanya.

Analisis Malaysiakini sebelum ini menunjukkan peningkatan sokongan terhadap PN didorong oleh gelombang kecenderungan pengundi muda pada PRU ke-14 yang berlangsung pada 2018.
Analisis berasingan terhadap 7,351 daerah mengundi pada PRU ke-15 pula menunjukkan PN memenangi 46 peratus daerah mengundi yang hanya mempunyai pengundi daripada kalangan golongan muda.
Sementara itu Tuan Ibrahim berkata satu lagi cabaran besar yang perlu diberi perhatian oleh Pemuda PAS ialah berkembangnya sikap muak dan bosan terhadap politik dalam kalangan anak muda.
Perkasa agenda, perkukuh kekuatan
Kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, golongan muda berasa meluat apabila politik itu dilihat dalam bingkai pertikaian, perkelahian dan permusuhan sehingga mewujudkan generasi yang tidak lagi peduli.
Menurut Tuan Ibrahim, keadaan itu berbahaya buat masa depan negara.
Tambahan pula, katanya, menjelang PRU ke-16, lebih daripada 52 peratus bakal pengundi nanti merupakan warganegara yang berusia bawah 40 tahun.
“Maknanya, anak muda ini penentu kepada kuasa politik masa depan negara kita,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata sekiranya golongan muda tidak lagi mengambil peduli tentang politik, keadaan itu boleh menjadi cabaran besar kerana kelemahan tersebut mungkin dimanfaatkan pihak tertentu.
Bagaimanapun dia tidak menjelaskan siapa “pihak tertentu” yang dimaksudkannya.
“Bayangkan kalau mana generasi muda sudah tidak peduli tentang politik, cabaran sangat besar, bahaya yang sangat besar kerana ia akan ditawari atau disalahgunakan oleh pihak-pihak yang mengambil kesempatan di atas kelemahan yang ada pada kita.
“Oleh kerana itu, kita perlu memperkasakan agenda memperkukuhkan kekuatan politik di kalangan anak muda,” katanya.





