Pemimpin DAP Johor mempertahankan program taklimat kewarganegaraan yang dianjurkan Adun Stulang Andrew Chen malah menegaskan program seumpama itu tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang negara.
Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Ali berkata apa yang mereka lakukan adalah untuk memberi penerangan dan panduan kepada rakyat yang berhadapan isu kewarganegaraan.
“Bagi saya, tiada isu. Menjadi seorang wakil rakyat, kita sering dihujani dengan pelbagai aduan.
“Ini termasuklah berkaitan isu-isu status kewarganegaraan, permohonan sijil kelahiran dan seumpamanya. Isu-isu ini timbul antaranya disebabkan kecuaian ibu bapa, status perkahwinan, pengambilan anak angkat dan sebagainya.

“Sebagai contoh, seorang bapa warganegara Malaysia berkahwin dengan wanita warga negara luar atau sesetengah pasangan yang berhadapan isu perkahwinan tidak sah taraf dan tidak didaftarkan di Malaysia,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kecaman terhadap program taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat DUN Stulang yang dijadualkan pada 30 Jun ini.
Namun program ditangguhkan selepas menerima kecaman selepas poster program itu tular di media sosial dengan dakwaan ia merupakan usaha untuk memberi kerakyatan kepada warga asing.
Penganjuran rogram itu turut mendapat tindak balas berbaur amaran keras oleh pemimpin Umno dan PAS.

Ini termasuk Ketua penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan program taklimat kewarganegaraan DAP itu satu tindakan bahaya.
Fadhli Shaari menegaskan program berkenaan boleh diumpamakan sedang ‘membakar negara’.
"Ada parti sedang bakar negara, rakannya pula bantu marakkan api," katanya.
Bagaimanapun Sheikh Umar menegaskan isu kewarganegaraan bukan isu rahsia, terpencil atau perkara luar biasa kerana dia juga pernah mengendalikan isu seumpama itu semasa menjadi wakil rakyat kawasan Paloh.
Ada pihak menangguk di air keruh
“Bahkan pada masa ini juga, ada rakyat yang masih mencari saya untuk memohon nasihat serta panduan bila berhadapan isu yang sama.
“Baru beberapa bulan yang lalu, saya bantu mengendalikan kes pasangan ibu bapa Melayu warganegara Malaysia yang mengambil anak angkat berstatus Indonesia.
“Anak angkat tersebut tidak memiliki sijil kelahiran kita. Pasangan tersebut berhadapan masalah kewangan kerana kos biaya pendidikan yang tinggi manakala anaknya mengalami tekanan emosi dari rakan sebaya.
“Saya telah membimbing mereka satu persatu termasuk proses melengkapkan dokumen agar memenuhi keperluan syarat-syarat yang digariskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan anak tersebut membuat permohonan sijil kelahiran Malaysia,” jelasnya.

Sheikh Umar juga berkata dia amat sedih apabila mendapati ada pihak cuba menangguk di air yang keruh dengan mengheret isu ini ke kancah sempit perkauman.
Ujarnya, beberapa kupasan di media sosial misalnya yang cuba mengelirukan isu ini dengan mengaitkan ia sebagai usaha menyalahguna kuasa untuk memberikan kewarganegaraan kepada bangsa asing.
“Lebih melampau, ada yang cuba menggambarkan ia sebagai tindakan menjual kedaulatan negara dengan mengambil alih tugas JPN atau KDN. Hal ini sepatutnya tidak timbul kerana kita hanya bertindak sebagai jambatan pemudahcara kepada rakyat.
“Sekali lagi saya tegaskan, isu ini bukan perkara baru. Apatah lagi dihadapi oleh pejabat-pejabat wakil rakyat.
"Melainkan anda seorang wakil rakyat pemalas atau sejenis YB yang 'memilih bulu' tiap kali menerima kes aduan rakyat,” kata Sheikh Umar.

Sementara itu Pengerusi PKR Perlis Noor Amin Ahmad berkata pihak yang memesongkan isu warganegara kepada hanya isu politik bukan hanya menunjukkan kesempitan akal, tetapi juga pada tahap rendah kemanusiaan seseorang yang mudah menilai tanpa memahami terlebih dahulu.
Amin yang juga bekas ahli parlimen Kangar berkata ramai yang hendak tunjuk pandai dengan ulasan politik sempit hanya menunjukkan betapa mereka terpisah dari realiti.
“Tak semena mereka anggap isu kerakyatan hanya isu kaum bukan Melayu atau bukan Islam. Mereka tak tahu berapa ramai anak orang Islam yang tidak mempunyai kewarganegaraan.
“Puncanya antaranya ialah perkahwinan di Thailand atau negara lain yang tidak didaftarkan. Anak dah besar panjang nak masuk sekolah dokumen tak ada.

“Ada yang dokumen lengkap tapi tak dapat walaupun dah mohon lama. Ada yang lepas kahwin ibu ayah berpisah emak asal bukan warganegara.
"Banyak lagi dan rumit kerana setiap kes adalah unik meskipun sebahagiannya tidak banyak beza,” jelasnya yang berpengalaman menganjurkan program seumpuma itu di Perlis.
Noor Amin berkata aduan mengenai isu warganegara ini bukan baru dan banyak diperkatakan di parlimen sejak dulu.
“Ada prosesnya yang biasanya pusat khidmat cuba bantu dari segi semakan dokumen.
“Bila kami buat program dengan agensi ramai yang datang dari merata negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebagainya. Isu warganegara memang sensitif.
“Ia anugerah yang besar. Ada prosesnya dan ada bidang kuasanya. Tak semudah itu mendapat warganegara meskipun kita pernah dengar dan nampak mudah bagi kelas masyarakat tertentu,” katanya lagi.





