Sukan bola sepak sekali lagi dicalit isu perkauman apabila seorang senator Paraguay mencetuskan kemarahan antarabangsa – termasuk kecaman daripada kerajaannya sendiri – selepas melemparkan serangan berbaur perkauman terhadap penyerang bintang Perancis, Kylian Mbappe.
Presiden Perancis Emmanuel Macron segera tampil mempertahankan Mbappe. Kapten Perancis itu menjaringkan penalti kemenangan yang menyingkirkan Paraguay daripada Piala Dunia dalam perlawanan yang tegang dan penuh emosi.

“Presiden Republik berdiri bersama Kylian Mbappe dan pasukan Perancis berdepan serangan perkauman yang ditujukan kepada kapten Les Bleus,” kata Istana Elysee, menurut laporan berita.
Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) menyatakan hasrat untuk memfailkan pertuduhan jenayah.
“Kenyataan ini adalah satu jenayah dan amat tercela. Perkara ini mesti didakwa di sini mahupun di tempat lain. FFF melaporkan perkara ini kepada pejabat pendakwa raya bagi tujuan tindakan undang-undang,” kata FFF dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, Mbappe dilahirkan di Paris dan dibesarkan di Bondy, sebuah kawasan pinggir bandar pelbagai budaya di timur laut ibu negara Perancis itu.
Walaupun dilahirkan dan dibesarkan di Perancis, dia berasal daripada keluarga pelbagai budaya. Bapanya, Wilfried Mbappé, berasal dari Cameroon dan ibunya, Fayza Lamari, adalah keturunan Kabyle Algeria (Berber).

Semenatara itu, Presiden Fifa Gianni Infantino turut mengecam Senator Celeste Amarilla.
“Seluruh dunia bola sepak dan masyarakat berdiri teguh bersama kapten Perancis – kita perlu melawan perkauman dan menewaskannya bersama-sama,” tulis Infantino dalam satu kenyataan di Instagram.
Menurut AFP, kerajaan Paraguay menjauhkan diri daripada senator pembangkang itu, yang juga anggota Parti Liberal, parti pembangkang utama di negara berkenaan.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Senator Celeste Amarilla terhadap kapten pasukan kebangsaan Perancis, Kylian Mbappe, adalah bertentangan dengan nilai dan prinsip yang menjadi asas kepada keamanan bersama serta penghormatan terhadap maruah manusia yang dipromosikan oleh negara kami,” kata Kementerian Luar Paraguay dalam satu kenyataan.

Dalam satu hantaran panjang di X, Amarilla menggambarkan Mbappe sebagai “warga Cameroon dijajah yang terdesak mahu menonjolkan diri sebagai orang Perancis”, seorang lelaki yang “hodoh” dan “orang kasal yang tidak tahu menulis”, selain beberapa hinaan lain.
Dia juga berkata pemain Paraguay sepatutnya menampar Mbappe selepas perlawanan tamat.
Mbappe membalas semula dengan menyifatkan Amarilla sebagai “wanita yang menjijikkan”.
“Puan Celeste Amarilla, dia seorang wanita yang menjijikkan dan tidak layak memegang jawatannya. Dia tidak mewakili Paraguay, sebuah negara yang telah memeras keringat dengan penuh minat dan kehormatan sepanjang kejohanan ini,” tulisnya.
“Disebabkan sikap tidak berhati-hati dan perkauman melampau daripadanya, seluruh dunia kini melupakan perjalanan serta usaha bersejarah yang dicapai oleh pemain-pemainnya sepanjang Piala Dunia ini, lalu memberi laluan kepada seorang wanita tidak cekap yang memberikan imej terburuk buat negaranya.
“Saya tidak akan sesekali membiarkan orang seperti dia bebas menyebarkan kebencian dan perkauman mereka ke seluruh dunia,” tambahnya.





