Rakyat Thailand menzahirkan kesedihan mereka di atas pemergian Puteri Bajrakitiyabha Narendiradebyavati, puteri sulung Raja Maha Vajiralongkorn, apabila ribuan rakyat negara itu berhimpun di sepanjang laluan dari Hospital Memorial Raja Chulalongkorn bagi menyaksikan Perarakan Pemakaman Diraja pada Sabtu.
Rata-rata rakyat yang berkabung berpakaian hitam dan kelihatan memegang potret Puteri Bajrakitiyabha ketika jenazah baginda dibawa menggunakan kenderaan diraja dari hospital berkenaan ke Istana Besar .
Jenazah puteri itu dibawa menaiki sebuah van berwarna perak yang berada di tengah-tengah perarakan diraja, bertolak dari Hospital Memorial Raja Chulalongkorn kira-kira pukul 4.25 petang sebelum tiba di Istana Besar sekitar pukul 5.05 petang selepas melalui laluan sejauh 10 kilometer.
Puteri Bajrakitiyabha yang berusia 47 tahun menghembuskan nafas terakhir baginda pada Khamis.
Seorang penduduk dari Samut Prakan, Krongthong Samarn, 60-an, yang berdiri di bahu jalan berhampiran Istana Besar menyifatkan Puteri Bajrakitiyabha sebagai seorang yang baik hati serta menjadi sumber sokongan dan inspirasi kepada seluruh rakyat Thailand.
"Saya merasakan Thailand mengalami kehilangan yang amat besar, seolah-olah kami kehilangan satu daripada tunjang yang memberi kami kekuatan dan ketenteraman.
Saya amat sedih dan sukar untuk menggambarkan perasaan ini dengan kata-kata. Sebagai rakyat biasa Thailand, saya hanya mampu menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan ini," katanya kepada Bernama.
Krongthong berkata mulai sekarang, seluruh rakyat Thailand harus terus memainkan perananan masing-masing untuk kemakmuran dan kemajuan negara.
"Walaupun kami hanya rakyat biasa, kami sayangkan negara kami dan kami tetap setia kepada institusi diraja serta Raja kami," katanya.
Terdahulu pada sebelah siang, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mengetuai barisan menteri Kabinet untuk memberi penghormatan terakhir serta menghadiri istiadat bersiram bagi Puteri Bajrakitiyabha.
Istiadat berkenaan diadakan di hadapan potret Puteri Bajrakitiyabha di Pavilion Sahathai Samakhom di Istana Besar.
Pada Jumaat, Biro Kerabat Diraja Thailand mengumumkan bahawa Raja Maha Vajiralongkorn telah memberi perkenan kepada orang ramai untuk memberi penghormatan di hadapan potret Puteri Bajrakitiyabha di Pavilion Sahathai Samakhom di dalam perkarangan Istana Besar setiap hari bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang, bermula Ahad ini.
Buku ucapan takziah turut disediakan di lokasi berkenaan untuk ditandatangani oleh orang ramai.
Biro itu berkata orang ramai akan dibenarkan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah diraja di Pavilion Biman Rataya selepas selesai upacara memperingati diraja selama 15 hari, bermula pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari, bermula 27 Jun.





