Perang mulut antara exco Selangor Najwan Halimi dan Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman terus berlanjutan ke hari kedua.
Terkini Najwan mendakwa seluruh negara tahu bahawa Presiden Abdul Hadi Awang dan pemimpin PAS sebagai gila kuasa.
Ia selepas Syahir berkata Abdul Hadi bukanlah pemimpin yang mengejar kuasa seperti mana Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang kini merupakan perdana menteri.
Najwan berkata, Syahir sekali lagi membuat kejutan dengan menyatakan Abdul Hadi bukanlah seorang yang gila kuasa.
“Isunya sekarang ini adalah Syahir sendiri dilihat tidak punya keyakinan terhadap Abdul Hadi Awang untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri.
“Tulis kenyataan panjang lebar tapi sudahnya tiada nama calon pimpinan PAS pun yang saudara berupaya untuk kemukakan. Jangan bohong bila saudara kata Presiden PAS tidak kejar kuasa.
“Seluruh negara tahu bahawa Presiden PAS dan pemimpin PAS memang gila kuasa dan sanggup buat apa sahaja demi dapat kuasa. Rakyat tak lupa penglibatan Presiden PAS dalam Langkah Sheraton demi mengejar kuasa. Dia sendiri mengaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Syahir membidas Najwan yang mendakwa dia seperti kurang yakin terhadap kemampuan Abdul Hadi untuk diangkat sebagai perdana menteri.
Menurutnya Abdul Hadi bukanlah pemimpin yang mengejar kuasa seperti mana Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang kini merupakan perdana menteri.
“Malah untuk rekod, ketika polemik jawatan TPM pada 2020, Tuan Guru Haji Hadi menjawab soalan wartawan, "saya balik jadi nelayan pun tak apa". Jawapan ikhlas dari hati.
"Itulah presiden parti kami. (Tidak seperti) presiden parti saudara, jauh berbeza dengan presiden parti kamu,” katanya.
Semalam, Najwan menyindir Syahir dengan mengatakan dia sepatutnya menamakan Ahli Parlimen Marang itu sebagai tokoh yang mampu memimpin Malaysia sebagai perdana menteri ke-11.

Sementara itu Najwan yang juga wakil rakyat PKR berkata, sejarah merakamkan PAS pernah menyertai kerajaan BN pada 1974 dan bekerjasama dengan PKR dan DAP selepas pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998 demi mendapatkan kuasa.
“Bahkan sehingga hari ini katanya, pimpinan PAS masih rancak menabur benih untuk menjatuhkan kerajaan demi mengambil alih kuasa.
“Sekali lagi saya nak tanya saudara Syahir; adakah saudara tidak yakin dengan keupayaan presiden PAS untuk menjawat jawatan perdana menteri?
“Saya boleh faham jika saudara tidak yakin dengan Abdul Hadi, kerana ramai juga berpandangan yang dia tidak layak,” katanya.
Exco belia, sukan dan keusahawanan Selangor itu turut meminta Syahir menamakan seorang calon Perdana Menteri dari PAS.
“Itu pun kalau adalah,” tambah Najwan.





