WAWANCARA | Selepas meletakkan semua jawatannya dalam Bersatu pada Feb lalu, bekas menteri kanan dan ahli politik veteran terkenal, Rais Yatim, mengesahkan dia sudah meninggalkan parti itu secara rasmi pada 15 April lalu.
Katanya, langkah tersebut diambil bagi memberi tumpuan sepenuhnya dalam kegiatan NGO.
Pada masa sama, Rais menolak jemputan supaya kembali kepada Umno – sebuah parti yang pernah menjadi wadah perjuangannya selama puluhan tahun.
“Saya dah berhenti sebagai anggota Bersatu, kawan-kawan ada minta jemput masuk Umno.
“Saya kata, saya jiwa Umno tahun 1946, tapi nak masuk sekarang, balik ke situ, tidak adalah,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kuala Lumpur, semalam.
Bulan lalu bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu dilaporkan meluahkan rasa kecewanya terhadap Bersatu dengan menyatakan parti itu tidak lagi wajar dipanggil 'Bersatu' kerana tidak mencerminkan realiti sebenar.
"Segala-galanya dalam Bersatu sudah berpecah, kecuali namanya," katanya dipetik sebagai berkata.
Untuk rekod Rais mempunyai perjalanan panjang sebagai ahli politik dengan tempoh paling lama adalah sebagai anggota Umno. Bagaimanapun ketika Umno berdepan dengan krisis kepimpinan, dia memilih untuk menyertai kem Tengku Razaleigh Hamzah dan menjadi salah seorang pemimpin kanan Parti Semangat 46.
Dia kemudian kembali menyertai Umno pada Okt 1996.

Pada Jun 2018 pula, Rais meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu yang menjadi salah sebuah parti komponen PH dan membentuk kerajaan pusat selepas PRU ke-14.
Terdahulu Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin mengalami krisis dalaman sehingga menyaksikan siri pemecatan pemimpinnya termasuk timbalan presiden mereka, Hamzah Zainudin.
Rais berkata, dia menjangkakan Bersatu berdepan jalan sukar susulan sebahagain besar ahli parlimen parti itu kini berpihak kepada Hamzah berbanding Muhyiddin.
“Saya rasa Bersatu sukar nak survive berbanding kem Hamzah yang disokong sebahagian besar ahli parlimen,” katanya yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.
Rais berkata, dia kini bekerjasama rapat dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mengaktifkan gerakan NGO.
Pengerusi Yayasan Budi menyifatkan perjalanan karier politiknya sudah berakhir dan kini adalah masa untuk memberi laluan kepada generasi yang lebih muda.
“Saya ‘bersekongkol’ dengan Tun Mahathir, kami sekarang aktif NGO.
“Yang parti politik itu, kalian kendalikanlah… itu jawapan saya.
“Lagipun, kami semua ‘hari dah pukul 6’. Awak semua baru pukul 12. Jalanlah dulu, tak ada apa-apa,” ujar Rais lagi.





