Portugal melarang pemakaian penutup muka di tempat awam selepas Presiden Antonio Jose Seguro menandatangani undang-undang yang pada asalnya dicadangkan parti berhaluan kanan Chega.
Seguro meluluskan langkah itu pada Selasa sambil menyatakan ia menangani isu yang mempunyai "sensitiviti sosial dan budaya yang tinggi", lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Istana Belem, kediaman rasmi presiden di Lisbon.
Beliau berkata pindaan yang dibuat semasa proses di Parlimen meyakinkannya untuk menandatangani undang-undang itu.
Seguro menyebut integrasi sosial, prinsip tanpa diskriminasi dan keselamatan awam sebagai antara alasan menyokong langkah itu, selain keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah berkaitan pemakaian penutup muka.
"Bagi Presiden Republik, wajah yang tidak ditutup merupakan aspek asas yang membentuk kepercayaan sosial, satu ciri masyarakat Portugal. Kehidupan bersama sehari-hari berasaskan pengiktirafan bersama dan kemungkinan untuk mewujudkan hubungan secara langsung antara individu," menurut kenyataan itu.
“Dan menerima bahawa wanita, dan hanya wanita, mesti menutup seluruh wajah mereka menunjukkan satu asimetri yang bertentangan dengan nilai kesamaan serta martabat yang sama antara lelaki dan wanita, nilai yang membentuk demokrasi Eropah,” menurut kenyataan itu.
“Sebaliknya, dalam masyarakat bebas seperti negara kita, setiap individu sepatutnya dapat menjalani kehidupan menurut identiti dan kepercayaan masing-masing dalam kerangka peraturan bersama yang menyediakan ‘pengalaman bersama’, konsep yang diterima oleh Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah,” menurut kenyataan itu.
Amnesty International Portugal mengkritik undang-undang itu sebagai berdiskriminasi dengan berkata ia mengancam hak wanita Islam yang memilih untuk menutup wajah mereka.
Portugal menyertai beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Belgium, Austria, Denmark dan Belanda yang mengenakan sekatan penuh atau sebahagian terhadap pemakaian penutup muka di tempat awam.





