Pihak polis telah mengambil keterangan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berkaitan dua kes.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, berkata kes pertama membabitkan artikel Bloomberg yang mengandungi kenyataan didakwa berunsur fitnah berkaitan pegangan saham Azam dalam Velocity Capital Partner Berhad.
Kes kedua pula berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan ugutan jenayah terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.
"Kedua-dua kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat peguam negara selaras dengan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat untuk nasihat dan arahan selanjutnya," kata Kumar.
Bloomberg pada Feb lalu menerbitkan artikel yang melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partner Berhad, yang dianggarkan bernilai hampir RM800,000 ketika artikel itu diterbitkan.
Malaysiakini turut mengesahkan pegangan saham tersebut melalui semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada hari yang sama.
Pertikaian Azam terhadap artikel Bloomberg itu tertumpu kepada kenyataan yang menyebut dia tidak pernah mengisytiharkan hartanya secara terbuka.
Dia mengakui memiliki saham berkenaan, namun menafikan sebarang salah laku dan menjelaskan pegangan tersebut telah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam. Azam juga berkata saham itu telah dijual pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, jumlah saham Velocity Capital yang dimiliki Azam didakwa melebihi had yang ditetapkan kepada penjawat awam, iaitu tidak dibenarkan membeli saham bernilai lebih RM100,000 dalam mana-mana syarikat.
Berikutan respons negatif daripada orang ramai, sebuah jawatankuasa tiga anggota yang dipengerusikan Dusuki Mokhtar telah menyiasat isu pegangan saham itu dan menyerahkan laporannya kepada Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar pada Mac lalu.
Jawatankuasa tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam sepatutnya bersidang untuk meneliti dan membincangkan perkara tersebut, namun sehingga kini tiada perkembangan baru diumumkan.
[Berita penuh menyusul]





