Seorang anggota polis yang bertugas di Kontinjen Pulau Pinang cedera parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di George Town hari ini.
Lelaki berpangkat koperal berusia 58 tahun itu terus dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Ada (kes tersebut) dan (kes) masih dalam siasatan awal, hebahan media akan dibuat (dalam masa terdekat)," katanya malam ini.
-Bernama





