Polis hari ini membebaskan dua pemilik haiwan ternakan yang ditahan semalam atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam ketika cuba membuat pengusiran lembu milik mereka dari ladang syarikat berkaitan kerajaan, SD Guthrie Bhd.
Perkara itu disahkan Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional, R Vijayagandi kepada Malaysiakini.
“Baru bebas dengan jaminan polis,” katanya ringkas.
Semalam Malaysiakini melaporkan Muraly Manohar, 41 dan Vickneswaran Manohar, 39 ditahan pihak berkuasa sekitar jam 11 pagi kerana didakwa cuba menghalang tugas penjawat awam.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku ketika pihak berkuasa cuba mengeluarkan haiwan ternakan mereka dari kawasan ladang syarikat milik SD Guthrie Bhd.
Kedua-dua mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sabak Bernam terlebih dahulu sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Besar.
Pada 22 Januari lalu, Malaysiakini melaporkan lebih 50 penternak dari ladang-ladang di Selangor berhimpun bagi menyerahkan memorandum menuntut campur tangan Menteri Besar Amirudin Shari susulan notis pengusiran yang mereka terima.
Mereka menuntut kerajaan negeri membatalkan notis pengusiran yang dikeluarkan oleh SD Guthrie, yang mengarahkan mereka mengeluarkan haiwan ternakan dari kawasan ladang syarikat itu.
Menurut syarikat itu, penternak juga sudah sedia maklum bahawa melepaskan lembu di kawasan ladang tersebut adalah satu pencerobohan terhadap tanah premis peribadi.





