Pengacara dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya, tampil memberikan teguran serta pandangannya mengenai budaya ‘salam kaut’, iaitu wang yang diberikan oleh tetamu kepada keluarga pengantin semasa menghadiri ke majlis perkahwinan.
Artikel Berkaitan: ‘Baju Kurung Direka Supaya Rasa Dikurung Oleh Adat & Syariat’ – Fedtri Yahya
Pandangan Fedtri

Menerusi hantaran di Threads, seorang individu meluahkan rasa kecewa apabila menerima wang ‘salam kaut’ dalam jumlah yang sedikit, sedangkan dia telah membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk majlis persandingannya.
Normal ke kita keluar duit untuk perkahwinan hampir puluh ribu, dapat pulangan dari salam kaut setakat 5-6 ribu je ? Lepas kira kira terdiam kejap, tak apalah mungkin rezeki lepas kahwin ada lebih.
Fedtri kemudian tampil memberikan respon dengan berpendapat bahawa majlis perkahwinan seharusnya menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim dan berkongsi kegembiraan, bukannya dinilai berdasarkan jumlah wang ‘salam kaut’ yang diterima.
Menurut Fedtri, tetamu yang hadir bukan sekadar membawa wang atau hadiah, malah kehadiran mereka juga disertai doa dan rahmat buat pasangan mempelai.
Kita jemput orang untuk meraikan. Besar pahala bagi orang makan. Setiap tetamu bawa doa, bawa rahmat.
Bila jadi macam ni, kita hanya melihat orang dengan pandangan duit semata-mata.
Sementara itu, Fedtri turut meluahkan kebimbangan sekiranya pemikiran sedemikian berterusan sehingga masyarakat pada masa hadapan mula memilih-milih tetamu berdasarkan kemampuan mereka memberikan pulangan wang.
Takut zaman akan datang nanti, yang miskin tak akan dijemput sebab tak bagi ‘pulangan modal’.
Sumber: Threads
The post Fedtri Yahya Tegur Individu Kecewa Terima ‘Salam Kaut’ Sedikit – ‘Takut Zaman Akan Datang Yang Miskin Tak Dijemput’ first appeared on OHBULAN!.





