Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka akan menghadap Majlis Raja-Raja berhubung cadangan pindaan undang-undang perlembagaan, hari ini.
Menterinya Saifuddin Nasution Ismail berkata dia akan diiringi Pengerusi Suhakam Mohd Hishamudin Yunus untuk menghadap nanti.
"hari ini pun KDN dijemput untuk membentangkan (perkara itu) kepada Majlis Raja-Raja untuk memperhalusi beberapa perkara," katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Saifuddin turut mengesahkan bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-undang (RUU) pindaan tersebut akan dibawa ke Parlimen ketika sidang Oktober ini.
Sebelum ini, dia berhasrat agar RUU tersebut dibahas dan diluluskan pada Mac lalu, namun ditangguh di saat akhir.
Ia susulan kritikan terhadap peruntukan dalam RUU tersebut, dengan aktivis berkata boleh menyebabkan lebih ramai orang Malaysia tidak memiliki status kewarganegaraan.
Mengulas jika kementeriannya telah mempertimbang cadangan balas Malaysian Citizenship Right Alliance (MCRA), Saifuddin menyifatkan pertemuan mereka sebagai perkembangan "positif" dalam usaha menambah baik undang-undang berkaitan kewarganegaraan.
"Ia sangat positif tetapi saya tak boleh beri maklumat lanjut," katanya.
Dua hari lalu, MCRA menyerahkan cadangan balas mereka secara terus kepada Saifuddin.
Antara cadangan mereka adalah:
-
Peruntukan berkenaan hak wanita warga Malaysia untuk mewariskan status kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara perlu secara retroaktif. Ia boleh menjadi pendekatan peralihan bagi mereka yang lahir sebelum pindaan berkuat kuasa.
-
Kembalikan had umur pendaftaran kewarganegaraan kepada 21 tahun, berbanding 18 tahun seperti yang dicadangkan sebelum ini, atau
-
Tempoh peralihan tiga tahun untuk pendaftaran kewarganegaraan sebelum had umur 18 tahun dikuatkuasakan, dan permohonan perlu dipertimbang dalam tempoh setahun, dengan sebab jelas diberikan untuk permohonan yang ditolak.
-
Menambah perlindungan agar kerajaan tidak boleh membatalkan kewarganegaraan wanita asing jika bercerai dengan lelaki tempatan, jika mereka telah berkahwin lebih dua tahun, ada anak, atau jika pembatalan boleh menjadikan wanita itu tiada kerakyatan mana-mana negara.
-
Kekalkan hak anak-anak beberapa kategori penduduk tetap untuk mendapat kewarganegaraan, iaitu Orang Asli, Orang Asal atau jika kanak-kanak itu lahir di Malaysia.
Cadangan balas itu dilancarkan Khamis lalu dan MCRA merancang untuk menyerahkannya kepada semua ahli Parlimen, termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim.





