Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yakin akan mendapat sokongan daripada ahli parlimen dalam usaha kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan mengenai hak kewarganegaraan.
Ini susulan penentangan terbuka daripada ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, semalam yang berkata kerajaan tidak mempunyai sebab untuk meminda peruntukan yang memberikan kewarganegaraan melalui undang-undang kepada kanak-kanak terbiar.

“Saya sekarang dalam siri memberi penjelasan kepada ahli parlimen,”kata Saifuddin ketika ditanya sama ada dia akan memberi penjelasan kepada wakil rakyat yang telah menyuarakan bantahan dan kebimbangan mereka mengenai cadangan pindaan itu.
“Dan saya yakin jika saya berpeluang untuk terus memberikan penjelasan macam ini, seperti sekarang saya jelaskan pada wartawan dan mereka bantu tulis, saya ingat saya yakin pindaan ini boleh mendapat sokongan yang diperlukan,” katanya semasa sidang media bersama Ketua Polis Negara, Razarudin Husain di Kuala Lumpur, hari ini.





