Sekurang-kurangnya empat pemimpin Melayu DAP hari ini tampil mengutuk keras satu lagi insiden penghinaan terhadap al-Quran yang didakwa berlaku di Sabah.
Menegaskan pihak berkuasa mesti bertindak pantas, tegas dan tanpa kompromi terhadap pelaku mereka berpendapat insiden itu bukan sekadar perbuatan biadab terhadap kitab suci umat Islam, malah menjadi ancaman serius terhadap keharmonian kaum dan agama di Malaysia.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Syahredzan Johan berkata kejadian tersebut menunjukkan wujud pihak tertentu yang semakin berani mengganggu gugat keharmonian negara.
Mereka juga, katanya, sedang mencabar apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Sebarang penghinaan serta provokasi agama tidak boleh diterima oleh masyarakat Malaysia yang majmuk dan cintakan keamanan," katanya.
Dia yang juga Ahli Parlimen Bangi menambah, undang-undang perlu digerakkan segera, termasuk oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya isu provokasi kaum dan penghinaan agama dapat ditangani secara menyeluruh sebelum merebak menjadi konflik yang lebih besar.
Berkongsi pandangan yang sama, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman menyifatkan perbuatan memijak dan menconteng al-Quran merupakan tindakan amat biadab, tidak bertanggungjawab, dan provokatif.
"Pelaku mesti segera dihadapkan ke muka pengadilan bagi memberi isyarat jelas bahawa penghinaan terhadap mana-mana agama sama sekali tidak akan dibiarkan, " katanya.
Tiada kompromi wajar dibenarkan
Selepas insiden melibatkan pelajar sebuah universiti di Pahang, muncul pula satu gambar yang dimuat naik di media sosial memaparkan kaki seseorang memijak al-Quran yang diconteng dengan lakaran lucah.
Insiden kali kedua itu dikatakan berlaku di Sabah.
Ia mengundang kemarahan pelbgai pihak termasuk Umno Sabah yang mahu polis, MCMC, serta pihak berkuasa agama negeri bertindak tegas.
Dalam kenyataan berasingan, Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid mengingatkan bahawa tiada kompromi wajar dibenarkan dalam soal penghinaan agama, sama ada melibatkan al-Quran mahupun simbol agama Hindu.
"Tindakan seperti ini ialah perlakuan sangat jijik dan berniat jahat yang wajib dilawan agar tidak membawa kepada pergaduhan fizikal," katanya.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, pula menegaskan insiden penghinaan tersebut ini bukan lagi kes yang boleh dianggap terpencil.
Katanya, selepas beberapa insiden sebelum ini, kejadian terbaru membuktikan ada pihak yang semakin berani mencabar sensitiviti agama dan keamanan rakyat berbilang kaum.
Dia turut mendesak platform media sosial bekerjasama dengan MCMC untuk menurunkan kandungan berunsur penghinaan agama dengan segera.
Pendirian empat pemimpin ini jelas iaitu penghinaan agama, walau terhadap agama apa sekali pun, mesti ditolak bersama demi mempertahankan keamanan negara.
“Saya menggesa siasatan segera dijalankan dan tindakan tegas diambil.
“Segala kekuatan undang-undang mesti digunakan bagi memastikan tindakan seperti ini tidak berulang,” katanya.





