32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Petani, 3 pemimpin PSM bantah pengusiran bakal didakwa: Arul soal ‘janji’ Izzah

    Shopee Sale

    PSM menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan pihak pendakwaan untuk mendakwa pengerusinya, dua lagi anggota parti dan seorang petani atas kesalahan yang didakwa berlaku ketika protes pada 2023 berhubung pengusiran petani di Kanthan, Tambun.

    PSM berkata parti itu “hairan dan kesal” dengan keputusan meneruskan pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi.

    Individu yang dijangka didakwa ialah Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj, Setiausaha PSM Cawangan Sungai Siput R Karthiges, Setiausaha PSM Hulu Kinta P Kesavan dan seorang petani dikenali sebagai Ho Pon Tien.

    Mengulas perkara itu, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan mendedahkan bahawa ketika kumpulan itu ditahan pada Oktober 2023, naib presiden PKR ketika itu, Nurul Izzah Anwar, menghubunginya untuk menyuarakan sendiri bantahannya terhadap tindakan polis.

    “Dia terkejut dengan penahanan itu dan berkata dia akan melakukan yang terbaik untuk membantu menghentikan pengusiran serta membebaskan mereka yang ditahan.

    “Saya tertanya-tanya sama ada dia mempunyai sebarang komen hari ini,” kata Arutchelvan.

    Nurul Izzah, yang juga anak kepada Presiden PKR dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kini timbalan presiden parti itu.

    Sambil menekankan penahanan itu berlaku di kawasan Parlimen Tambun yang diwakili Anwar, Arutchelvan turut mempersoalkan masa pertuduhan itu dibuat dengan merujuk pilihan raya Negeri Sembilan esok serta beberapa perkembangan politik dan negara yang lain.

    “Mengapa sekarang, selepas lebih dua tahun? Adakah ini cubaan untuk mengganggu kempen pilihan raya PSM di Rahang?

    “Adakah ia bertujuan mengalihkan perhatian orang ramai daripada penahanan berkaitan Tabung Haji yang bakal berlaku? Adakah ini cubaan kerajaan Perak pimpinan Umno untuk memalukan atau melemahkan perdana menteri?” soalnya.

    Dia turut menggesa pihak berkuasa menarik balik pertuduhan itu dengan menegaskan tindakan meneruskan kes selepas tempoh begitu lama tidak banyak memenuhi kepentingan awam, membazirkan sumber kerajaan dan berisiko menjadikan pentadbiran keadilan bahan persendaan.

    Calon tunggal PSM dalam pilihan raya Negeri Sembilan, S Tinagaran, berusaha memenangi kerusi DUN Rahang dalam pertandingan empat penjuru menentang penyandang daripada DAP, Desmond Siau; calon MCA Yap Siok Moy; dan calon Bersama Tang Jay Son.

    Timbalan Setiausaha Agung PSM KS Bawani pula memberitahu Malaysiakini bahawa Jeyakumar dan tiga individu lain menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 28 Julai yang meminta mereka hadir di mahkamah esok untuk menghadapi pertuduhan.

    MENARIK:  Agensi PBB beri amaran kebuluran semakin memuncak di Gaza

    Bagaimanapun, dia berkata permohonan untuk menangguhkan pendakwaan telah dikemukakan dengan mengambil kira tugas parti dalam pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada 1 Ogos serta kongresnya bulan depan.

    PSM masih belum menerima jawapan sama ada permohonan itu diluluskan.

    Pada 24 Oktober 2023, polis menahan empat individu berkenaan kerana cuba menghalang pengusiran petani di Kanthan. Mereka dibebaskan pada hari sama.

    Pada awal hari itu, anggota Jawatankuasa Pusat PSM Chong Yee Shan mengalami kecederaan pada mulut dan hidung selepas didakwa ditolak seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian Perak ketika protes sama.

    Ketika itu, seramai 200 petani terbabit dalam sektor pertanian di Kanthan, yang dianggap sebagai kawasan pengeluaran sayur tunggal terbesar di negeri berkenaan.

    Protes itu tertumpu kepada enam petani yang menerima notis pengusiran bertarikh 13 Oktober, yang memaklumkan kebun mereka terletak di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan mereka diarahkan mengosongkannya dalam tempoh seminggu.

    Petani terbabit bersetuju mematuhi arahan berkenaan tetapi meminta kerajaan negeri menawarkan tanah alternatif kerana mereka sudah lama mengusahakan kebun itu.

    Menjelang pilihan raya umum 2023, petani terbabit memberitahu Malaysiakini bahawa mereka berharap Anwar, selaku pengerusi Pakatan Harapan, akan menamatkan “mimpi ngeri” mereka sekiranya dia dipilih sebagai ahli Parlimen Tambun.

    Pada 31 Jan 2024, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menyeret Jeyakumar ke mahkamah atas dakwaan fitnah berkaitan pengusiran petani Kanthan, dengan badan berkanun itu mendakwa bekas ahli Parlimen Sungai Siput berkenaan secara palsu mengaitkannya dengan pelanggaran perintah interim mahkamah.

    PKNP turut mendakwa reputasi perniagaannya terjejas akibat kenyataan Jeyakumar, yang didakwa menyebabkannya kehilangan keyakinan bakal pelabur, rakan perniagaan dan orang ramai di Perak.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah