Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Khairul Annuar Abdul Aziz, menjelaskan cabaran yang dihadapi pengusaha stesen minyak berpunca daripada aliran tunai yang tidak menentu berkait dengan turun naik harga bahan api.
Dia berkata pengusaha berfungsi sebagai “price taker” (bukan pihak yang tetapkan harga), dengan harga ditetapkan kerajaan manakala syarikat minyak mengawal bekalan serta agihan bahan api.
“Pengusaha juga mempunyai kapasiti simpanan terhad dan tidak berada dalam kedudukan untuk mengurus inventori bagi tujuan spekulatif,” tambahnya.
Khairul turut mendedahkan persatuan itu sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan bagi menangani kebimbangan tersebut.

Dia memberitahu Malaysiakini, isu berkenaan termasuk kadar diskaun pedagang satu peratus, kehilangan akibat penyejatan bagi setiap liter bahan api serta kelestarian margin keseluruhan.
“Beberapa cadangan telah dikemukakan dan perbincangan sedang berlangsung ke arah memuktamadkan penyelesaian yang praktikal dan seimbang untuk industri.
“PDAM juga ingin menegaskan bahawa kami lebih cenderung membincangkan perkara ini secara terus dengan pihak berkuasa berkaitan, dengan perbincangan membina sedang berjalan,” katanya merujuk kepada Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Khairul merujuk laporan Malaysiakini awal hari ini yang memetik presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Abdul Aziz Sapian.

Aziz berkata harga bahan api yang ditetapkan melalui mekanisme penetapan harga automatik kerajaan mewujudkan “ketidakpadanan” dengan harga yang dibayar pengusaha.
"Ini mewujudkan situasi di mana: Harga runcit berubah lebih cepat daripada kos sebenar stok di peringkat stesen," katanya.
"Implikasinya, pengusaha terdedah kepada risiko turun naik harga. Dalam keadaan harga menurun, mereka terpaksa menjual stok yang dibeli pada harga lebih tinggi tanpa mekanisme pampasan, menyebabkan kerugian stok," jelasnya.
Terma kredit jejaskan kestabilan aliran tunai
Sebagai maklum balas, Khairul berkata situasi itu lebih tepat difahami sebagai ketidaktentuan aliran tunai, sambil menekankan keperluan terma kredit mencukupi dalam industri bagi memastikan operasi kekal stabil ketika harga bahan api berubah.
“Bagi pengusaha yang mempunyai terma kredit kukuh, tekanan aliran tunai ketika perubahan harga mungkin dapat dikurangkan sebahagiannya kerana mereka boleh menjual stok sedia ada sebelum pembayaran perlu dibuat mengikut terma kredit mereka.
“Selain itu, bayaran daripada pelanggan (pembayaran elektronik) serta bayaran balik subsidi, yang lazimnya diterima berdasarkan asas T+1 (hari berikutnya), boleh membantu menyokong aliran tunai,” jelasnya.

Terma kredit dipersetujui antara pengusaha stesen minyak dan pembekal mereka serta berbeza antara pengusaha, manakala bayaran balik subsidi ditetapkan oleh kerajaan.
“Jika terma kredit mencukupi untuk menyamai atau melebihi kitaran pembayaran ini, keperluan suntikan modal tambahan segera boleh dikurangkan.
“Namun, keadaan ini tidak seragam dalam industri. Pengusaha tanpa kemudahan kredit mencukupi, atau yang berdepan kekangan bekalan atau pembiayaan, masih boleh menghadapi cabaran aliran tunai yang ketara,” katanya.
“Ini sekali lagi menegaskan kepentingan memastikan terma kredit mencukupi di seluruh industri bagi menyokong operasi yang stabil ketika tempoh turun naik harga,” tegasnya.

Dia turut menjelaskan apabila harga meningkat, nilai stok sedia ada dan kos menambah inventori turut meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada modal kerja dan keperluan pembiayaan.
Sebaliknya, apabila harga menurun, pengusaha berisiko mengalami kerugian kerana inventori berkos tinggi terpaksa dijual pada harga terkawal yang lebih rendah.
“Pada masa sama, komponen kos seperti Merchant Discount Rate (MDR) dan kehilangan akibat penyejatan (bahan api) meningkat dari segi nilai mutlak apabila harga bahan api naik, sekali gus mengecilkan margin.
“Harga yang tinggi secara berterusan juga boleh menyebabkan pengurangan jumlah jualan, sekali gus menjejaskan kelestarian keseluruhan,” katanya.
Perubahan harga dan subsidi bahan api
Pada 8 April, Kementerian Kewangan Malaysia mengumumkan kenaikan 70 sen harga runcit diesel kepada RM6.72 seliter di Semenanjung Malaysia, walaupun harga minyak global menurun susulan gencatan senjata dalam peranang Iran.
Kementerian itu turut mengumumkan harga runcit petrol RON97 meningkat 40 sen kepada RM5.35 seliter, manakala harga petrol RON95 meningkat 40 sen kepada RM4.27 seliter.
Pada masa sama, petrol RON95 bersubsidi untuk rakyat Malaysia yang layak kekal pada harga siling RM1.99 seliter dengan kuota bulanan 200 liter.
Pentadbiran Madani juga menyediakan diesel bersubsidi pada kadar RM1.88 seliter, RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter bergantung kepada sektor industri.
Penurunan awal harga minyak global berlaku susulan pengumuman gencatan senjata antara Iran dan Amerika Syarikat selepas lima minggu konflik yang mencetuskan krisis tenaga global.
Bagaimanapun, Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance pada Sabtu berkata bahawa Washington dan Tehran gagal mencapai persetujuan selepas dua hari rundingan.
[Baca berita asal]





