Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini, menetapkan perbicaraan kes Hydroshoppe Sdn Bhd dan pengarahnya berhubung dakwaan tawaran suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi manfaat Tan Sri Annuar Musa berkaitan pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur, pada 4 Jan 2027.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ifa Sirrhu Samsudin dan peguam Tang Jia Yearn yang mewakili Pengarah Hydroshoppe Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh.
"Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 4 hingga 7 Jan, 2 hingga 4 Feb, 16 hingga 18 Mac, 8 hingga 10 Jun, 14 hingga 17 Jun dan 21 hingga 23 Jun 2027. Tarikh sebutan kes pada 18 Ogos ini untuk serahan dokumen," kata Noor Ruwena.
Pada prosiding itu, mahkamah merekodkan pengakuan tidak bersalah Abdul Hamid Shaikh yang turut mewakili Hydroshoppe selepas kes berkenaan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 26 Mei lepas.
Pada 5 April 2023, Abdul Hamid, 52, didakwa menawarkan rasuah melalui Datuk Tan Ser Lay sebagai dorongan kepada Annuar yang ketika itu Menteri Komunikasi dan Multimedia supaya mempercepat pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya antara Julai hingga Ogos 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.
Hydroshoppe turut didakwa mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagai sebuah organisasi komersial kerana secara bersama-sama menawarkan suapan kepada Tan bagi manfaat Annuar di lokasi dan tarikh sama.
jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda RM1 juta atau 10 kali nilai suapan mengikut yang mana lebih tinggi.





